Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Daerah Pontian, Datuk Zamrud Misdi berkata, perlu ada pilihan lain kepada mereka seperti penyediaan tempat yang sesuai dan bukan berbasikal di jalan raya hingga membahayakan diri sendiri dan orang lain.

“Minat dan kecenderungan mereka turut melibatkan kos yang tinggi bagi modifikasi dan tentu­nya akan menjejaskan perbe­lanjaan seharian bagi mereka yang masih di bangku sekolah.

“Kemalangan yang berlaku sebelum ini melibatkan penunggang basikal lajak seharusnya menyedarkan semua pihak terutama ibu bapa dan juga masyarakat bagi sama-sama mencegahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pertandingan Push Bike dan BMX Time Trail di Parit Sikom Esplande, Parit Sikom di sini semalam.

Yang turut hadir, Penghulu Mukim Api-Api, Ali Mohammad dan penganjur program, Izham Abu.

Parit Sikom Esplande turut melibatkan acara kayuhan 40 kilometer (km), BMX Demo, BMX Time Trail dan Push Bike bertujuan merapatkan silatu rahim dalam kalangan penggiat dan komuniti peminat basikal sempena Hari Kebangsaan ke-61.

Zamrud berkata, MCPF melihat isu itu bukan sebagai isu tempatan tetapi menjadi masalah di seluruh negara dan memerlukan perhatian semua pihak yang berkenaan.

Tambahnya, MCF mengalu-alukan penganjuran acara Basikal BMX bagi memberikan golo­ngan remaja yang berminat dalam acara tersebut menunjukkan kebolehan di gelanggang yang sesuai.

“Memandangkan tiada ge­langgang bagi basikal BMX di daerah ini, usaha yang dilakukan ini dapat mempromosikan Parit Sikom sebagai pusat kegiatan sukan itu pada masa depan,” ujar­nya.

Sementara itu, Izham berkata, program tersebut berjaya menarik ramai peminat basikal sama ada bagi kayuhan 40 km dan acara basikal BMX.

Katanya, gelanggang basikal BMX berukuran 300 meter yang mula dibangunkan setahun lalu berjaya menarik penyertaan kira-kira 60 peserta termasuk dari luar Pontian seperti Johor Bahru, Batu Pahat dan Singapura de­ngan peserta berusia antara tiga hingga 39 tahun ke atas.