Pegawai Daerah Johor Bahru yang mengetuai jawatankuasa itu, Datuk Mohammed Ridha Abdul Kadir berkata, perbincangan ke arah itu sudah dilakukan kerana pihaknya perlu melihat kilang yang mana berisiko tinggi kepada penduduk Pasir Gudang.

Beliau bagaimanapun menegaskan, keputusan yang akan dibuat kelak adalah berhantung kepada penilaian serta cadangan yang akan dikemukakan pihak yang menjalankan kajian.

“Buat masa ini, kita tiada keputusan sebegitu (untuk memindahkan kilang kimia di Pasir Gudang) tetapi cadangan untuk mewujudkan kawasan perindustrian baharu memang ada.

“Walau bagaimanapun, kita ambil kira semua kemungkinan dan cadangan-cadangan oleh pasukan yang menyelidik sebelum kita syorkan apa-apa kepada kerajaan negeri, bila cadangan itu kita terima,” katanya mengulas mengenai cadangan tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 Peringkat Daerah Johor Bahru di Komtar JBCC di sini hari ini.

Tambahnya, kajian yang dibuat itu turut mengambil kira bahawa penempatan kilang-kilang kimia dalam jumlah yang besar di suatu kawasan mungkin tidak lagi praktikal dalam keadaan sekarang.

Ditanya berapa lama tempoh kajian itu akan mengambil masa, beliau berkata, buat masa ini belum ada tempoh yang ditetapkan, namun pihaknya akan mengadakan mesyuarat dari semasa ke semasa berhubung perkara itu.

“Kita akan panggil mesyuarat dari semasa ke semasa untuk kita tengok kesesuaian dan apa cadangan yang dikemukakan kepada jawatankuasa.

“Buat masa ini, pihaknya belum menerima apa-apa cadangan kerana perkara itu masih lagi di peringkat kajian,” katanya. - UTUSAN ONLINE