Baginda bertitah, perkara tersebut sudah pun ada dalam perancangan kerajaan dan diharapkan pembinaannya dapat dipercepatkan.

“Saya percaya bahawa negeri Johor adalah antara penyumbang utama kepada hasil pendapatan kerajaan Persekutuan. Oleh itu adalah wajar dan adil jika lebih banyak peruntukan pembangunan disalurkan kepada Johor terutamanya untuk menaik taraf kemudahan perkhidmatan kesihatan, pengangkutan awam dan jaringan lebuhraya,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian dalam Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor di Dewan Singgahsana Istana Besar di sini sebentar tadi.

Sultan Johor turut menzahirkan rasa dukacita dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa toksik ke dalam Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Sultan Ibrahim bertitah, tindakan itu bukan sahaja mencemarkan sungai dan alam sekitar, malah memberi kesan kepada nyawa serta kesihatan penduduk di persekitaraan Pasir Gudang.

Bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang, Sultan Johor bertitah supaya kerajaan segera melaksanakan tindakan kawalan dan penguatkuasaan yang bersepadu terhadap semua kilang yang menggunakan bahan kimia beracun.

“Mana-mana kilang yang gagal mematuhi peraturan pengurusan keselamatan dan alam sekitar, hendaklah diarahkan tutup serta merta.

“Bagi jangka masa panjang, saya mahu kerajaan mengkaji semula jenis-jenis industri yang terdapat di Pasir Gudang dengan menutup atau memindahkan industri gas dan bahan kimia mudah meletup serta membahayakan penduduk sekitarnya,” titah Baginda.

Baginda turut memberi contoh serta mahu semua pihak mengambil pengajaran daripada peristiwa letupan kilang gas di Bhopal, India pada 1984 yang telah mengorbankan lebih 3,000 nyawa dan lebih 500,000 orang yang sakit akibat terhidu gas kimia beracun. - UTUSAN ONLINE