Ayub Rahmat

Pengerusi Jawatan­kuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan­ Penerangan negeri, Da­tuk Ayub Rahmat berkata, kes kematian itu dicatatkan ekoran 228 kes penyakit berkenaan yang dilaporkan dalam tempoh tersebut.

Jelasnya, mengikut statistik Unit Kawalan Penyakit Berjangkit Jabatan Kesihatan Negeri Johor, kes jangkitan penyakit kencing tikus di negeri ini menunjukkan peningkatan pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya. 

“Bagi tahun ini, sebanyak 13 kematian berkaitan leptospirosis dilaporkan hingga September 2017 berbanding sembilan kematian pada tahun lepas.

“Bagi taburan kes hingga September 2017, mengikut daerah, Johor Bahru mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 55 kes diikuti Segamat (37 kes) dan Kluang (30 kes),” katanya da­lam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, nisbah­ pe­­­­nyakit itu bagi ta­hun­ lalu ialah 5.9 ora­ng daripada 100,000 pendu­duk, lebih rendah berban­ding 6.4 orang daripada 100,000 penduduk ya­ng dicatatkan pada masa ini.

“Kes leptospirosis yang didaf­tarkan mengikut tahun adalah seperti berikut iaitu 68 kes (2012), 63 kes (2013), 388 kes (2014), 306 kes (2015), 205 kes (2016) dan 228 kes (September 2017),” ujarnya.

Jelasnya, selain kejadian banjir, jangkitan leptospirosis banyak dikaitkan dengan tahap kebersihan persekitaran rendah terutama di kawasan rekreasi dan hutan lipur, berpunca daripada pembuangan sisa-sisa makanan sehingga mengundang kehadiran tikus pembawa utama bakteria leptospira. 

“Bakteria ini jika memasuki tubuh manusia akan menyebabkan jangkitan yang serius kalau tidak dirawat awal dan boleh menyebabkan kematian. Oleh itu, aspek kebersihan persekitaran adalah penting dalam kawalan penyakit leptospirosis,” katanya.

Tambahnya, sebagai langkah kesiapsiagaan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor menjalankan beberapa aktiviti seperti meningkatkan pemantauan penyakit berjangkit terutamanya untuk kes-kes se­perti leptospirosis, melioidosis, kolera, tifoid dan denggi.

“Di peringkat hospital juga kesiapsiagaan telah dibuat dari segi kelengkapan dan wad-wad untuk menerima dan merawat kes-kes ini dengan segera, selain menggalakkan aktiviti gotong-royong bersepadu selepas banjir serta kediaman penduduk,” ujarnya.