Namun, kedua-dua individu ini mempunyai satu persamaan, iaitu minat yang mendalam dalam pembuatan kasut.

Menceritakan detik awal men­ceburi bidang pembuatan kasut, Juhari mengakui mula berjinak-jinak dalam bidang berkenaan ketika berusia 15 tahun.

“Ketika itu, saya bekerja di sebuah kilang kasut di Ipoh, Perak dengan gaji RM7 sehari dan be­kerja di sana selama lima tahun sebelum berhijrah ke sebuah kilang kasut, di sini selama enam tahun.

“Selepas itu saya bekerja di sebuah kilang kasut berjenama selama lima tahun, namun akhir­nya mengambil keputusan untuk berhenti kerana telah mencapai gaji maksimum kira-kira RM2,000,” katanya ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Enggan mensia-siakan bakat yang ada, Juhari dibantu isteri, Zaiton Khamis, 42, kemudian mengusahakan sendiri perniagaan membuat kasut secara kecil-ke­cilan dari rumah mereka di Taman Puteri, di sini kira-kira 10 tahun lalu.

Dengan modal permulaan hanya RM700 dan sebuah mesin jahit, pasangan itu tidak menyangka akan mene­rima tempahan daripada ji­ran tetangga, adik-beradik dan saudara-mara selain menjual ha­sil ciptaan mereka di pasar malam.

Menurut anak kelahiran Temerloh, Pahang itu yang mempunyai lima orang anak, setelah setahun beroperasi di rumah, dia kemudian menyewa sebuah lot kedai di kawasan rumahnya de­ngan dibantu dua pekerja.

“Memandangkan kurang mahir dalam aspek pemasaran, saya dengan bantuan seorang rakan yang awalnya adalah pelanggan saya, Aizat Ahmad kemudian menubuhkan syarikat Georonnie Shoe Maker Enterprise.

“Dua tahun kemudiannya, syarikat ini telah mendapat perhatian dua usahawan berjaya, iaitu Mohd. Azmi Mohd. Amin dan Taqi Muhamad Os­man yang sudi mela­bur sehinggalah ter­tubuhnya TAGeoronnie Shoe Maker Sdn. Bhd.,” katanya.

Kini Juhari mempunyai sebuah kilang membuat kasut di Jalan Sri Putri 3/3, di sini yang mempunyai 13 pekerja selain sebuah kedai jualan di Kilang Bateri di Tampoi, Johor Bahru.

Dengan menggunakan jenama kasut TAG's, syarikat itu kini menawarkan pelbagai jenis kasut dan sandal bagi lelaki dan wanita termasuk yang diperbuat daripada kulit.

“Selain menghasilkan kira-kira 200 pasang kasut atas jenama TAG's, syarikat kami turut menghasilkan kira-kira 200 pasang kasut sehari bagi jenama lain milik usahawan tempatan.

“Selain itu, kami juga memasar dan mempromosikan kasut menerusi laman sosial seperti Instagram dan Facebook bagi menarik lebih ramai pelanggan dalam kalangan anak muda serta orang ramai,” katanya.