Aspirasi itu penting bagi membentuk pelajar yang mempunyai kebolehan menyeluruh dalam abad ke-21 ini bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi melibatkan sahsiah diri, memiliki budi pekerti yang tinggi dan patriotik kepada negara.

Menyedari kepentingan itu, Karnival Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Pontian di sini di­ada­kan selama tiga hari dua ma­lam baru-baru ini dengan tema Alami Keriangan dan Teroka Potensi.

Menurut Guru Besarnya, Buhari Japri, program yang diadakan bagi tahun ketiga itu merupakan usaha pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi melahirkan murid serba boleh dan meningkatkan siasah diri selain mendekati masyarakat.

Katanya, program tersebut juga memenuhi Pengelibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) yang merupakan anjakan ke­sem­bilan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menurutnya, peranan ibu bapa penting bagi sama-sama melihat perkembangan serta kemajuan anak-anak mereka di se­kolah dan dapat membantu pendidik jika terdapat sebarang masalah.

“Sebagai tenaga pendidik, kami berusaha memenuhi harapan dan aspirasi Kementerian Pendidikan bagi membantu kemenjadian murid yang dapat meneruskan kesinambungan negara pada masa depan.

“Mendepani cabaran itu, guru-guru juga didedahkan de­ngan pelbagai pengetahuan dan kemahiran bagi memastikan lonjakan pendidikan yang cemerlang terhadap kemenjadian murid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Karnival SK Bandar Pontian yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengerusi PIBG SK Bandar Pontian, Hasrunizah Hassan dan Ketua Unit, Sektor Kemanusiaan, Pejabat Pendidikan Daerah Pontian, Mohd. Hood Md. Noh.

Buhari berkata, kemenjadian murid juga menuntut pengelibatan masyarakat yang boleh menyumbangkan idea dan pandangan termasuk memberikan sumbangan bertujuan mening­katkan pencapaian akademik dan sebagainya.

“Karnival ini turut menjemput sekolah-sekolah di daerah Pontian mengambil bahagian dalam aktiviti pertandingan bola sepak, bercerita dalam bahasa Inggeris, pertandingan serlahkan bakatmu dan sebagainya,” ujarnya.

Sementara itu, Hasrunizah berkata, pihaknya terharu dengan sokongan semua pihak termasuk pihak swasta dan individu yang memberikan sumbangan bagi menjayakan program tersebut.

Kata beliau, karnival itu diadakan bertujuan memupuk semangat kerjasama antara ibu bapa dan sekolah selain mengumpul sumber kewangan bagi kegunaan PIBG serta pihak sekolah.

Menerusi dana kewangan yang kukuh katanya, banyak kegiatan dan aktiviti dapat dijalankan pihak sekolah dengan dibantu PIBG termasuk bagi program pembangunan sekolah.

“Terdapat 43 gerai jualan disediakan selain beberapa acara permainan untuk kanak-kanak dan keluarga yang datang serta ceramah agama pada malam pertama karnival,” ujarnya.

Tambah Hasrunizah, karnival itu berjaya memenuhi objektifnya bagi menyerlahkan bakat dan potensi pelajar-pelajar di samping merapatkan hubungan antara pihak sekolah dan ibu bapa.

Dalam pada itu, Siew Kiong berkata, pihaknya menyokong usaha SK Bandar Pontian itu kerana dapat merapatkan hubungan antara pelajarnya yang berbilang kaum.

“Begitu juga pengelibatan ibu bapa dan orang perseorangan yang memberikan sumbangan bagi menambah kewangan PIBG untuk menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan pelajar dan ibu bapa.

“Usaha ini amat bertepatan kepada negara bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi serta dapat memenuhi daya saing pasaran perkerjaan pada masa depan,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri.