Namun, ada antara pengusaha kantin yang mengambil inisiatif sendiri dengan menghias kantin mereka bukan sahaja menjadikannya lebih ceria, secara tidak langsung dapat memupuk amalan mulia dalam kalangan pelajar.

Antara kantin yang dimaksudkan adalah Kantin Hipster di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang di sini. Kantin berkenaan baru-baru ini menjadi tular dalam media sosial kerana keunikannya berbanding kantin sekolah lain.

Kantin Hipster SMK Pasir Gudang atau juga dikenali sebagai Kafe Selera Puteri Impian menjadi tumpuan dan sebutan kerana hiasannya tidak seperti kantin sekolah biasa.

Pengusahanya, Hawa Atan, 46, berkata, etika pelajar dan pelawat yang mengunjungi kantin itu berubah setelah pihaknya melakukan trans­­formasi menyeluruh terhadap kan­tin berkenaan sejak 2014.

Beliau mula menjadi pengusaha kantin di sekolah itu sejak 2009 dan akan sentiasa menukar perhiasan di kantin tersebut setiap tahun mengikut tema.

Hawa yang mula menjadi pe­ngusaha kantin sejak 2006 berkata, semuanya bermula pada 2014 apabila terfikir untuk menggunakan pallet sebagai perabot sebelum idea itu berkembang dan menjadikan kantin sekolah itu sebagai sebuah kantin hipster.

“Mujurlah idea ini mendapat sokongan pi­hak sekolah dan apabila siap ditransformasikan, tidak sangka pula kantin ini menjadi tular di laman sosial,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Setelah penampilan kantin ditukar, beliau dapat melihat perubahan dalam kalangan sikap pelajar ketika berurusan di kantin.

“Pelajar semakin bertanggung­jawab dan mengambil berat ke­ber­sihan kantin. Mereka me­nun­jukkan perasaan sayang ter­hadap kantin dan saya amat menghargainya,” kata Hawa yang akan terus melakukan penambahbaikan pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengetua SMK PG, Abdul Razak Abdul Samad memberitahu, pihaknya memberi sokongan penuh kepada pengusaha kantin sekolah itu untuk me­lakukan yang terbaik selagi tidak menyalahi peraturan ditetapkan.

Menurut beliau, kewujudan Kafe Hipster di sekolah berkenaan turut membantu kemenjadian murid dengan pihak sekolah memberi nilai tambah kepada kantin berkenaan, khususnya ketika waktu rehat bagi kedua-dua sesi persekolahan.

“Selain wujud sudut peminjaman dan pemulangan buku perpustakaan di kantin tersebut, pihak sekolah turut mengadakan satu sudut pidato bagi pelajar membentangkan idea mereka secara public speaking.

“Bukan itu sahaja, kita juga mengadakan kelas seperti kelas masakan pada waktu bersesuai­an, ini semua merupakan nilai tambah kepada kantin sekolah, yang mana secara tidak langsung membantu meningkatkan lagi kemenjadian pelajar,” katanya.