Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Alwi Anang berkata, jualan tersebut diadakan di tapak-tapak pasar tani sedia ada dan Pasar Tani Jalan Datin Halimah di sini berjaya mencatatkan jualan tertinggi, kira-kira RM20,000.

Menurutnya, perolehan ke­dua tertinggi adalah Pasar Tani Pesta, Batu Pahat dengan nilai jualan RM15,000 dan ketiga terbanyak ialah Agro Bazar Kedai Rakyat yang mencatatkan jualan kira-kira RM10,000.

Beliau menambah, jualan ter­sebut turut diadakan di Kampung Melayu, Pekan Kahang dan Layang-Layang (Kluang), Labis 1 dan Taman Pelangi (Segamat), Bandar Putra (Kulai), Bukit Gambir (Ledang) dan Stadium Mini Pontian (Pontian).

“Tujuan kita mengadakan jualan seumpama ini adalah bagi memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barangan keperluan menjelang sambutan tersebut dengan menawarkan harga lebih rendah antara lima hingga 20 pe­ratus daripada harga pasaran.

“Jualan ini juga sebagai langkah kerajaan menangani kenaikan harga, terutamanya menjelang musim perayaan dengan menjual barangan segar yang dibekalkan oleh pembekal dan usahawan terpilih,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Agro Bazar Kedai Rakyat ke-140 serta me­lancarkan jualan berkenaan di Nombor 5, Jalan Jagung 1, Bandar Baru Uda di sini, baru-baru ini.

Alwi berkata, jualan ber­kenaan memberi fokus terhadap produk seperti daging ayam, lembu, sayur-sayuran, barangan runcit dan produk FAMA.