Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan Wanita dan Pelanco­ngan negeri, Liow Chai Tung berkata,  antara lokasi yang mempunyai penerbangan terus ke Johor ketika ini adalah Bangkok, Thailand, Hanoi, Vietnam, Korea Selatan, beberapa bandar di Indonesia serta Hainan, China. 

“Saya yakin akses secara terus ke negeri ini akan dapat membantu memudahkan lagi proses kedatangan pelancong dari negara tersebut ke negeri ini nanti. 

“Pada 2018 seramai 15 juta pelancong luar negara berkunjung ke negeri ini dan daripada jumlah tersebut kira-kira tujuh juta bermalam sekurang-kurang semalam di sini,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kraf dan Pelancongan Labis 2019 di Dataran Labis di sini, semalam. 

Katanya,  melalui usaha mempromosi destinasi pelancongan yang terdapat di Johor ke beberapa negara yang dikenal pasti mempunyai akses terus ke sini dilihat  mampu meningkatkan lagi jumlah kedatangan pelancong luar ke sini pada tahun ini. 

Dalam pada itu, beliau menggesa penduduk khususnya go­longan wanita untuk menceburi bidang pembuatan kraf selari dengan potensi jualan tanaman itu di negara ini yang dijangka meningkat kepada RM1.02 bi­lion menjelang tahun 2025 dan RM2.2 bilion pada 2035.

Katanya,  industri kraf bukan sahaja memberi manfaat kepada usahawan kraf, malah limpahan faedah kepada industri lain termasuk pelancongan, inap desa, sektor perkhidmatan dan industri hiliran lain. 

“Ketika ini kira-kira 65 peratus atau 3,471 daripada keseluruhan pengusaha kraf di negara ini adalah terdiri daripada golongan wanita.

“Ini membuktikan wanita merupakan aset penting yang mampu memacu pertumbuhan industri kraf negara khususnya negeri Johor ke tahap yang lebih tinggi,” katanya