OSMAN SAPIAN

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian yang mempertahankan keputusan itu menjelaskan, misa­lannya dengan inisiatif itu, penerima bantuan yang memperoleh bil air sebanyak RM100 ha­nya perlu membayar RM90 kepada Syarikat Air Johor (SAJ) Ranhill kerana RM10 lagi telah disubsidi oleh kerajaan negeri.

“Jadi, apa yang untungnya? Kita membantu rakyat, kalau dahulu kerajaan boleh bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), sekarang apa bezanya?” soalnya.

Osman yang juga Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Kempas ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) Daerah Johor Bahru di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad bahawa keputusan itu hanya menguntungkan syarikat swasta dengan nilai RM25 juta setahun.

Semalam, Hasni menyifatkan keputusan kerajaan negeri untuk memberikan 10 meter padu air percuma dengan perbelanjaan RM25 juta setahun tidak memberi kesan kepada golongan sasar sebaliknya hanya menguntungkan syarikat air yang dimiliki pihak swasta.

Mengenai isu bauksit yang menghantui penduduk Minyak Beku, Batu Pahat, Osman memberitahu, beliau baru mengetahui tentang perkara itu semalam dan mendapat laporan mengenainya.

“Jangan beranggapan saya tidak tahu sejarah, tidak peka dan sebagainya. Sesuatu perkara kita mesti dapat laporan tepat kerana kalau hendak bercakap pun, perkara itu biarlah tepat,” katanya.

Kelmarin media melaporkan aktiviti harian penduduk di kawasan itu terjejas selepas tempat berkenaan dijadikan pusat pengumpulan dan pengagihan bauksit sejak kira-kira dua bulan lalu.

Berikutan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri telah diarahkan untuk menjalankan siasatan segera dan mengeluarkan notis larangan sekiranya benar berlaku pencemaran.