Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, mereka yang didapati berbuat demikian akan dikenakan tindakan tegas.

Menurutnya, mereka yang terpilih mengikuti skim tersebut perlu tahu menghargai usaha itu kerana dilaksanakan bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri terutama yang sukar mendapat pinjaman.

“Tahniah kepada bakal pemilik rumah yang berjaya melepasi permohonan skim sewa beli Jauhar Prihatin, suka saya mengingatkan jangan ada pula yang buat untung atas angin, kalau ada boleh lapor kepada pihak kami,” katanya dalam Majlis Pengundian Unit Jauhar Prihatin Rumah Pangsa Seri Baiduri, Bandar Tiram, Ulu Tiram di sini hari ini.

Rumah pangsa tersebut dikendalikan syarikat milik penuh kerajaan negeri, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).

KPRJ menerusi anak syarikatnya, Generasi Ta'zim Sdn. Bhd. (GTSB) menawarkan 190 unit rumah pangsa Seri Bai­duri menerusi skim sewa beli Jauhar Prihatin, satu inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan B40 memiliki rumah sendiri.

Osman berkata, skim Jauhar Prihatin diperkenalkan bagi membantu mereka yang berdepan dengan kesukaran mendapatkan pembiayaan bank atau institusi kewangan apabila ingin membeli rumah yang ditawarkan terutama golongan B40.

Menurutnya, menerusi skim tersebut, penyewa akan bertukar menjadi pembeli selepas lima tahun dan berpeluang memohon pinjaman perumahan seperti biasa daripada institusi kewangan dengan rekod dan merit yang lebih baik.

“Pembeli rumah menerusi skim itu juga tidak perlu risau memandangkan harga hartanah yang ditawarkan semasa menandatangani perjanjian sewa-beli adalah sama dengan harga yang ditetapkan semasa perjanjian sewa-beli lima tahun sebe­lumnya,” katanya.

Beliau berkata, sehingga hari ini, dianggarkan sebanyak 4,715 unit rumah diperuntuk di bawah skim Jauhar Prihatin iaitu meliputi hampir 90 peratus daerah Johor Bahru.