Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, walau bagaimanapun, dalam tempoh sebelum pindaan Akta 668 itu diwartakan, kerajaan negeri akan melakukan perjumpaan dengan semua pihak terlibat termasuk persatuan belia.

Beliau turut berharap Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Ali akan bekerjasama dengan Menteri Belia san Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjayakan pertemuan itu.

“Saya rasa isu belia In Sha Allah dah selesai.

“Jadi, saya harap dan kalau boleh Exco Belia bekerjasama dengan menteri mengadakan perjumpaan untuk memberi penerangan kepada semua persatuan belia supaya mereka faham mengenai pindaan Akta 668 itu,” katanya ketika diminta mengulas berhubung isu had umur belia.

Dr. Sahruddin ditemui pemberita pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada 150 jemaah haji rombongan pertama kerajaan negeri di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini malam tadi.

Ditanya adakah kemungkinan selepas pertemuan dan sesi penerangan kepada semua persatuan belia had umur golongan itu di negeri ini akan bertukar, beliau berkata, perkara tersebut diserahkan kepada Exco Belia.

“Itu kita serahkan kepada Exco Belia untuk membuat perjumpaan dan nanti apa-apa keputusan dia akan memberi laporan kepada kerajaan negeri.

“Jadi, buat masa ini, biar Exco berkenaan menjalankan perjumpaan dan sesi penerangan itu terlebih dahulu,” katanya. - UTUSAN ONLINE