Bertemankan bau busuk, bilik yang berlubang dan bocor, wanita berusia 39 tahun yang ditinggalkan oleh suaminya itu tidak ada pilihan lain terpaksa berteduh dalam rua­ngan sempit itu kerana tidak mampu membayar rumah sewa.

Irni yang menyewa bilik berke­naan daripada seorang warga Indonesia dengan bayaran RM150 sebulan mengakui terpaksa me­ne­tap di situ kerana tidak mampu menyewa rumah yang lebih mahal selepas ditinggalkan oleh suami yang dinikahi sejak 2016.

Dengan gaji sebanyak RM1,000 sebulan sebagai pembantu res­to­ran, dia membayar sewa rumah, wang jagaan anaknya sebanyak RM450, duit susu dan lampin pakai buang.

“Selepas melahirkan anak, saya menumpang di rumah saudara di Segamat tetapi selepas habis berpantang, saya berpindah dan menyewa di sini.

“Walaupun sedih kerana terpaksa membawa anak yang masih kecil ini tinggal di bilik yang bocor, busuk dan berlubang-lubang, namun saya tiada pilihan kerana untuk menyewa rumah yang le­bih mahal, saya tidak mampu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di bilik sewanya di Taman Perling, di sini hari ini.

Irni yang merupakan isteri ke­dua mendakwa suaminya seper­ti enggan bertanggungjawab apabila membiarkan mereka berdua hidup dalam serba kekurangan sedangkan dia bekerja di Singa­pura dengan gaji kira-kira RM6,000.

“Malah, dia mampu membeli motosikal berkuasa tinggi dan saya juga dimaklumkan dia juga baru membeli rumah berharga RM400,000,” dakwanya yang ber­nikah dengan suaminya di negara jiran.

Dalam pada itu, Irni memberi­tahu, permohonannya untuk men­dapatkan kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Melana, di sini tidak diluluskan.

Dia mendakwa telah membuat permohonan sejak sebulan lalu dan pada 2 April lalu dimaklumkan bahawa permohonannya terpaksa ditangguhkan kerana tiada kekosongan.

“Saya amat berharap agar permohonan untuk mendapatkan rumah PPR dapat diluluskan selain mendapat kerja yang lebih selesa,” katanya.