Antara produk pelancongan yang menjadikan Sedili Kecil sentiasa menjadi kunjungan pelancong ialah penjualan kraf tangan daripada hasil laut seperti cengkerang siput dan sisik ikan.

Jika diimbas kembali, banyak rumah zaman dahulu yang memiliki hiasan diperbuat daripada produk ini dan kegunaannya te­lah dipelbagaikan.

Sekiranya berhasrat untuk mencari barangan perhiasan sedemikian, boleh berkunjung ke Bengkel Kraftangan Siput Nelayan Sedili yang terletak berse­belahan dengan jambatan Sedili Kecil.

Untuk ke bengkel tersebut, perjalanan menaiki kereta ha­nya kira-kira 1 jam 30 minit dari bandar Johor Bahru.

Pengusahanya, Lijah Jabar, 53, memberitahu, perusahaan menghasilkan produk kraf tangan daripada cengkerang siput telah dilakukan sejak tahun 1990.

Kini produk yang dihasilkan dengan bantuan ahli keluarga dan beberapa rakan lain turut mendapat sambutan bukan hanya daripada pengunjung tempatan, malah pelancong asing.

“Semasa baharu memulakan perusahaan ini, memang kurang diketahui orang, tetapi kini setelah hampir 30 tahun, lokasi ini sudah mula dikunjungi ramai pengunjung.

“Ada pelancong asing yang dibawa oleh rakan-rakan mereka, ada yang dibawa ejen pelanco­ngan malah ada juga yang berkunjung sendiri ke sini,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Antara produk yang mendapat sambutan hangat daripada pe­ngunjung termasuk kerongsang, gubahan, rantai, gelang, pin baju, hiasan meja, hiasan dinding dan hiasan cermin.

Semua produk kraf tangan itu dijual pada harga yang murah jika dibandingkan dengan produk kraf tangan lain, iaitu serendah RM1.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan produk kraf tangan tersebut boleh mendapatkannya dengan menghubungi talian 012-7575742 atau 017-8424358 serta melayari Facebook Bengkel Kraftangan Siput Nelayan Sedili.