Ketua Pegawai Penguat kuasa­nya, Aris Mamat berkata, daripada 71 jenis barangan yang terlibat di bawah pemantauan, 33 barangan direkodkan menunjukkan penurunan harga antara 3.85 hingga 41.67 peratus manakala 10 lagi tidak menunjukkan perubahan harga.

“Antara barang yang menca­tatkan kenaikan harga ialah kobis bulat import daripada RM4 kepada RM5 sekilogram manakala harga cili hijau turut meningkat iaitu RM9 kepada RM10 sekilogram.

“Harga ayam bersih (standard) bagi beberapa pasar mengalami penurunan empat sen daripda RM8.20 kepada RM7.80 sekilogram manakala harga bagi daging lembu tempatan, daging kerbau import, kelapa parut, santan dan telur ayam masih kekal harga lama,” katanya selepas membuat pemeriksaan di Pasar Awam Larkin, di sini hari ini.

Seramai 68 anggota PPDNKK terlibat dalam membuat pemeriksaan secara besar-besaran terhadap 235 premis bagi memantau serta memastikan bekalan dan harga barang keperluan musim perayaan adalah mencukupi dan ditawarkan pada harga munasabah.

Aris berkata, ketika menjalankan pemantauan, pihaknya mengambil 10 tindakan amaran terhadap peniaga yang didapati tidak mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan berkaitan tidak letak tanda harga dan timbang sukat.

“Sepanjang dua minggu lalu, kita masih belum menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga barang dan akan menjalankan siasa­tan dalam kadar segera sekiranya terdapat peniaga menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah untuk mengaut untung berlebihan.

“Kita juga turut membuat pe­man­tauan terhadap barangan terlibat dengan cukai barang dan perkhid­matan (GST) dan mengingatkan syarikat berdaftar GST agar tidak menaikkan harga bagi mencapai hasrat kerajaan mahu mengurangkan kos sara hidup,” katanya.