JIMMY PUAH WEE TSE

Pengerusi Jawatankuasa Per­da­gangan Antarabangsa, Pela­buran dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse (gambar) berkata, pemberian air percuma itu terbahagi kepada dua kumpulan B40, iaitu yang berpendapatan isi rumah di bawah RM4,000 sebulan.

Beliau berkata, kategori pertama melibatkan penerima BR1M yang mempunyai alamat dan akaun de­ngan Syarikat Air Johor (SAJ) Ranhill yang kesemuanya dianggarkan mempunyai 230,000 pe­nerima.

“Kategori kedua melibatkan penerima BR1M yang mempunyai alamat tidak sama dengan akaun air SAJ Ranhill. Sebagai contoh penerima BR1M yang menyewa rumah dan jumlah kategori ini dianggarkan seramai 100,000.

“Walau bagaimanapun, bagi kategori kedua ini, mereka perlu memohon dengan mengisi borang di ibu pejabat SAJ Ranhill bermula pertengahan Ogos ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pasar Paragon, Tampoi, di sini semalam.

Jimmy berkata, pem­berian air percuma yang menelan kos RM31.68 juta setahun dijangka dapat direalisasikan bermula September ini mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan kerajaan negeri dan perkara itu telah dipersetujui dalam mesyua­rat Exco, Rabu lalu.

“Kita telah menetapkan beberapa syarat termasuk pemberian air percuma ini, antaranya untuk pengguna domestik dan pemegang akaun mestilah tidak boleh mempunyai tunggakan.

“Selain itu, pengguna juga tidak boleh melebihi had penggunaan yang ditetapkan iaitu sebanyak 35 meter padu dan tidak boleh melebihi RM46 sebulan berdasarkan tarif terkini. Kontrak bagi pemberian air percuma ini juga ditetapkan hanya untuk tiga tahun sahaja,” jelas­nya sambil memberitahu

Beliau yakin meka­nisme itu dapat dilaksanakan selepas kejadian dan perbinca­ngan selama dua bulan antara kerajaan negeri dan beberapa pihak berkepentingan seperti SAJ Ranhill, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bahagian Pe­rancang Ekonomi Negeri Johor (UPEN).