Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Galeri Pak Matlob di SMK Semerah

ZULKURNAIN KAMISAN (tengah) bersama warga SMK Semerah bergambar
ZULKURNAIN KAMISAN (tengah) bersama warga SMK Semerah bergambar kenangan dalam Program PIBK Bersama Masyarakat dan sambutan Aidilfitri di Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.

BATU PAHAT 17 Julai – Kerajaan ne­geri meluluskan peruntukan berjumlah RM200,000 bagi membina sebuah galeri yang bakal menempatkan karya penulisan tokoh ilmu, Mohamad Mokhtar Talib atau lebih dikenali sebagai Pak Matlob di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semerah di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, galeri berkenaan yang dijangka mula dibina pada akhir tahun ini merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi menghargai sumbangan dan menyelamatkan khazanah peninggalan tokoh tulisan jawi moden berkenaan.

“Galeri ini akan menempatkan ribuan karya peninggalan Allahyarham Pak Matlob sepanjang terlibat dalam bidang penulisan dan SMK Semerah dipilih sebagai lokasinya kerana terletak dalam kawasan Semerah yang merupakan tempat kelahiran beliau.

“Kita berharap apabila siap galeri ini kelak, ia dapat menarik minat anak-anak muda dan pelajar mendalami perjua­ngan Pak Matlob ketika hayatnya selain mencontohi semangat beliau memartabat tulisan jawi,” katanya selepas menghadiri Program PIBK Bersama Masyarakat dan Sambutan Aidilfitri SMK Semerah, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengetua SMK Semerah, Supiandi Yusof dan para pemimpin masyarakat di kawasan ber­kenaan.

Zulkurnain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan berkata, galeri tersebut akan diba­ngunkan secara bersama antara Yayasan Warisan Johor (YWJ) dan Persatuan Alumni SMK Semerah.

Pak Matlob, anak kelahiran Kampung Laut, Semerah meninggal dunia pada 6 September 2013 akibat serangan angin ahmar selepas menghadiri majlis marhaban yang diadakan di rumahnya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika itu.

Allahyarham yang merupakan bekas guru memulakan karya penulisan untuk kanak-kanak pada tahun 1953 sebelum diteruskan dengan penulisan rencana tentang pendidikan, kesusasteraan, kebudayaan dan sosial.

Skrip drama pentas pertama ditulis beliau bertajuk Mekarlah Mawar-Mekarlah Harapan dipentaskan di Panggung Cathay, Muar pada 28 Mei 1965.

Beliau kemudian menghasilkan karya kanak-kanak untuk Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia pada 1965 hingga 1967 dan selepas menghasilkan 11 novel untuk remaja dan 107 novel kanak-kanak, Pak Matlob dilantik sebagai Ketua Unit Pendidikan Jawi untuk akhbar Utusan Melayu.

Allahyarham semasa hayatnya turut mengeluarkan 30 jenis bahan bacaan dan penyelidikan berhubung tulisan jawi moden dalam tempoh tiga tahun.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain