Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim berkata, masalah itu berlaku sebelum ini kerana faktor jarak sekolah mene­ngah yang paling hampir de­ngan kampung tersebut terletak kira-kira 15 kilometer di pekan Tenang Stesen.

“Dahulu mungkin akses dari kampung ini ke sekolah tersebut agak sukar kerana keadaan jalan merah yang rosak namun selepas pembinaan Jalan Felda Redong-Felda Selancar yang melalui hadapan kampung ini, perjalanan menjadi lebih mudah.

“Masalah jarak tidak boleh digunakan sebagai alasan kerana pelbagai kemudahan disediakan kerajaan kepada pelajar Orang Asli agar mereka tidak menjadikan kekurangan keperluan asas sebagai alasan untuk meraih kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pecutan Akhir Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Segamat Kecil semalam.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Johor, Wan Assim Wan Shekh; Pegawai Jakoa Segamat, Mohd. Yazid Beram dan Guru Besar SK itu, Mohd. Ariffin Mohd. Tab.

Menurutnya, bagi mencapai keputusan akademik setan­ding anggota masyarakat lain, kesedaran ibu bapa dan pelajar Orang Asli tentang kepentingan pendidikan perlu dipertingkatkan bagi mengatasi masalah keciciran dalam kalangan pelajar kaum tersebut.