Seorang lelaki yang mengejutkannya tadi, tiba-tiba mengucapkan salam dan menghulurkan makanan sambil tersenyum sambil meminta maaf kerana mengganggu lenanya sebentar tadi.

Gelandangan itu mengambil­nya sambil mengucapkan te­rima kasih dan sebelum lelaki yang memberinya makanan ber­edar, gelandangan itu sempat bertanya kenapa memberikan makanan dan adakah mewakili mana-mana persatuan agama atau sosial?

Itu adalah antara situasi yang berlaku semasa enam sahabat berusia antara 25 dan 30 tahun yang berbeza latar belakang mengambil inisiatif untuk berpadu tenaga menjalankan program amal kepada gelandangan yang berada di bandar raya ini.

Hasil usaha sendiri termasuk mengumpulkan dana dan menyediakan makanan kepada golongan itu, mereka turut me­ngajak kira-kira 17 lagi rakan menyertai kerja amal itu bagi mengedarkan pek makanan kepada gelandangan terbabit.

Menurut wakil kumpulan itu, Amin Razak, 31, mereka ti­dak bernaung di bawah mana-mana badan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalankan program tersebut, sebaliknya timbul kesedaran sendiri untuk membantu golo­ngan tidak berumah berkenaan.

Katanya, itu kali kedua mereka menjayakan program memberi makanan kepada gelandangan di Johor Bahru selepas program sama dijayakan sebelum ini.

“Kami berenam mengeluarkan modal sendiri untuk menyediakan makanan kepada golongan gelandangan, malah turut mengajak kenalan lain yang mahu turut serta membungkus serta mengedar pek makanan.

“Pada program kali ini, kami menyediakan 300 bungkus nasi berlauk, bihun goreng, air mi­neral, air kotak, kuih dan buah-buahan,” katanya ditemui di si­ni baru-baru ini.

Tambah Amin, program ter­sebut bermula pukul 12.30 te­ngah malam di Jalan Wong Ah Fook sebelum berakhir kira-kira empat jam kemudian dengan menyasarkan lokasi utama di sekitar bandar raya.

“Pada masa sama, kami ma­hu mengajak golongan muda untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan tanpa perlu menung­gu digerakkan mana-mana pi­hak selain boleh mengetahui masalah yang menimpa golo­ngan gelandangan ini.

“Program kesukarelawanan ini mampu memupuk jati diri selain menginsafi apabila melihat nasib orang lain yang serba kekurangan dan tidak mustahil kami akan teruskan pada masa depan memandangkan sambutan diterima amat menggalakkan,” ujarnya.