Ahli Jawatankuasa Kebudayaan, Sukan dan Keagamaan DMJ, Nur Faizal Kasri berkata, DMJ berpendapat isu ICERD tidak boleh berhenti dengan hanya berhimpun dan menyuarakan penolakan tetapi tindakan lanjut perlu diambil bagi merungkai punca masalah.

Secara asas katanya, masalah untuk meratifikasi ICERD adalah berpunca daripada ketidakfahaman orang bukan Melayu terutamanya kaum Cina dan India berkenaan kontrak sosial yang tersirat dalam Perlembagaan Malaysia.

“Selain itu, mereka secara bergenerasi telah menanamkan satu pemikiran bahawa selama 60 tahun ini kaum mereka ditindas dan dinafikan hak sedangkan realitinya mereka tidak ditindas dan tidak ada satu pun daripada hak-hak mereka yang dinafikan.

“Justeru, DMJ mencadangkan kerajaan pusat atau negeri bagi mewujudkan Institute of Peace Study bertujuan untuk mencanai kontrak sosial yang terselit di celah-celah ayat perlembagaan dan dikomersialkan secara konsisten kepada masyarakat Malaysia khususnya kepada orang bukan Melayu,” katanya di sini sebentar tadi.

Nur Faizal berkata, institut itu dicadangkan untuk memainkan peranan dalam merangka strategi untuk menyelesaikan kemelut di antara bangsa-bangsa majoriti dalam negara ini secara komprehensif dan efisien berpaksikan Perlembagaan Malaysia supaya lebih adil dan saksama.

Tambahnya, itu juga berfungsi sebagai badan tindakan khas untuk merangka pelan strategik yang tidak membelakangkan hak keistimewaan Bumiputera (Perkara 153) dalam usaha mengurangkan masalah ‘Racial Hatred’ di kalangan rakyat Malaysia.

“Perkara itu amat penting kerana secara dasarnya mereka tidak langsung memahami apa isi dan matlamat kontrak sosial yang dipersetujui oleh generasi awal, ketika mana nenek moyang mereka diberikan kerakyatan menetap di bumi bertuah ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE