Setiausahanya, Hussien Ibrahim berkata, penggunaan restoran mamak secara umum memberi implikasi negatif kepada pihak yang tidak terlibat.

“Sejak kebelakangan ini, persepsi masyarakat terhadap restoran mamak dipandang serong akibat beberapa isu yang tular khususnya dalam kalangan masyarakat Islam.

“Apa yang kami harapkan adalah pihak berkuasa mendedahkan nama restoran untuk diketahui umum dan bukan sekadar menyebut restoran mamak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Hotel M-Suites, di sini sebentar tadi.

Baru-baru ini tular isu membabitkan kebersihan penyediaan makanan dan status halal restoran mamak diragui, berikutan itu pihak berkuasa di negeri ini mula melakukan operasi.

Kelmarin sebuah restoran mamak yang beroperasi hampir 18 tahun di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, dikesan menggunakan lebih 30 tangkal dan azimat sebagai ‘pelaris’ jualan.

Kegiatan menyalahi akidah itu terbongkar hasil serbuan operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa terhadap premis berkenaan bermula pukul 2 petang.

Lebih mengejutkan, semua azimat yang mengandungi ayat jawi yang tidak jelas maksudnya digantung dalam pelbagai bentuk termasuk bingkai gambar, bunjut, botol dan batu berikat dibawa masuk dari India serta di pasang di setiap penjuru kedai.

Bahkan pemilik restoran beragama Islam itu tidak langsung memohon logo halal dari pihak berkuasa agama, selain hanya dua daripada 23 pekerja beragama Islam. - UTUSAN ONLINE