Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, serangan sekumpulan gajah liar itu dilaporkan berada di kawasan CCRC itu bermula kira-kira 10 malam pada 4 Februari hingga awal pagi esoknya.

Menurutnya, peruntukan bagi membaiki pagar itu akan dibuat dalam masa terdekat menerusi perolehan darurat di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pada masa sama turut memohon bantuan peruntukan kerajaan negeri.

“Kejadian dalam skala begitu iaitu dengan kerosakan pagar keselamatan dan tanaman me­rupakan pertama kali berlaku selain berhampiran pos keselamatan dan ia membawa ancaman kepada pekerja serta penghuni CCRC sekali gus perlu beri perhatian kerana sebelum ini gajah liar itu hanya lalu sahaja.

“Justeru, kita akan menilai semula tentang keselamatan di sini, malah kita juga sudah mendapat nasihat pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah berhubung kaedah terbaik boleh dilaksanakan seperti memasang lampu yang sesuai bagi mengelak perkara sama be­­r­ulang,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan kerja ke CCRC di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah CCRC Kota Tinggi, Faizah Hayati Harun.

Zulkifli berkata, pihaknya dimaklumkan sebuah santuari gajah sedang giat dibangunkan dan dijangka siap pada pertengahan tahun ini bagi menempatkan kira-kira 80 gajah liar yang sering berkeliaran di sekitar kawasan Kota Tinggi.

Pada masa sama, beliau juga berharap projek santuari itu apabila siap kelak akan dapat menempatkan gajah liar terlibat kerana untuk menikmati satu kehidupan yang seimbang, pihak berkenaan perlu mengambil kira keperluan binatang liar itu.

“Saya bersama wakil Jabatan Perhilitan mengadakan taklimat mengesahkan projek tersebut sedang berjalan dan dijangka siap pertengahan tahun ini dan kita berharap dengan adanya santuari itu, gajah liar mempunyai tempat sesuai,” katanya.