Abd. Mutalip Abd. Rahim.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim berkata, kerajaan negeri meminta dua aliran pendidikan itu diterapkan untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam akademik yang menjamin peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, kerajaan ne­geri bersedia membantu pusat tahfiz swasta yang berhasrat mengikut sistem pembelajaran yang ditekankan melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri.

“Kita ada menempatkan 20 pelajar tingkatan empat dan lima dari tahfiz swasta yang sudah menghafaz al-Quran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bekok, Segamat bagi membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Apa yang dilakukan ini adalah demi kebaikan masa depan pelajar. Apa-apapun, ia terpulang kepada pihak sekolah tahfiz swasta sama ada mereka ingin patuh atau tidak terhadap usul yang dicadangkan dan kita tidak boleh memaksa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat negeri di Pusat Islam Iskandar di sini kelmarin.

Mutalip berkata, saranan dua aliran pendidikan itu antara isu yang dibangkitkan dalam perjumpaan dengan 95 pengusaha dan pengetua tahfiz swasta di negeri ini baru-baru ini.

Katanya, dalam perjumpaan itu, pengetua dan pengusaha sekolah tahfiz turut diminta mendaftar dan berusaha untuk meningkatkan kelengkapan serta kemudahan di sekolah sedia ada terutamanya yang menyediakan kemudahan asrama.

“Dianggarkan sebanyak 15 pusat tahfiz swasta di negeri ini yang masih belum berdaftar. Sekiranya mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh masa diberikan, kita tidak teragak untuk mengambil tindakan terhadap mereka dan menutup pusat tahfiz terbabit,” katanya.