Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, perlu ada dasar perlindungan kanak-kanak sebagai garis panduan yang mengutamakan kese­lamatan golongan itu termasuk melibatkan isu penderaan seksual.

“Statistik penderaan seksual kanak-kanak yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan sebanyak 984 kes dilaporkan pada 2014, 978 kes pada 2015 dan 1,034 kes pada 2016.

“Ia meliputi eksploitasi seksual iaitu mendedahkan kanak-kanak pada bahan lucah di internet, memaksa melakukan hu­bungan sulit selain mendedahkan kanak-kanak kepada bahan lucah seperti filem dan majalah selain menjadikan mereka sebagai objek bahan pornografi,” titah baginda ketika menyempurnakan perasmian Kempen TinDAK (Tindak Demi Anak Kita) anjuran Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor (Jewel) di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif dan Presiden Jewel, Woo Sow Pheng.

Raja Zarith Sofiah bertitah, semua pihak termasuk agensi kerajaan dan masyarkat perlu memainkan peranan masing-masing bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isu penderaan kanak-kanak.

Titahnya, usaha mencegah pen­deraan kanak-kanak juga perlu dididik dan diterap dalam minda golongan kanak-kanak seawal mungkin.

“Kita tidak boleh beranggapan kanak-kanak mengetahui sendiri risiko dan bahaya yang ada. Penderaan terhadap kanak-kanak boleh berlaku di mana-mana sama ada di rumah mahupun di sekolah.

“Kanak-kanak perlu faham hak mereka dan cara menjaga keselamatan diri. Mereka perlu fahami sama ada mereka didera secara fizikal, seksual atau emosi dan mereka perlu tahu cara untuk bersuara dan meminta pertolongan,” katanya.

Sementara itu, Sow Pheng ber­kata, fasa pertama kempen bagi membanteras penderaan seksual terhadap kanak-kanak itu bersama-sama Jabatan Pendidikan negeri dijangka memberi manfaat kepada 328,000 murid sekolah rendah.

“Pada bulan lalu, pasukan TinDAK sudah mula mengadakan latihan kepada kaunselor dari 906 sekolah rendah di seluruh negeri.

“Guru kaunseling diberikan tugasan untuk mengendalikan sesi latihan pendek mengenai kesedaran penderaan seksual kanak-kanak menggunakan bahasa mudah yang boleh difahami oleh golongan itu,” katanya.