Pemilik sebuah kedai mesin jentera di Jalan Padi 1 Bandar Baru Uda di sini mendakwa dia gagal melunaskan tunggakan cukai harta sebanyak RM15,000 sejak tahun 2013 berikutan terlalu sibuk de­ngan urusan perniagaannya.

Ketika operasi dijalankan bermula pukul 10 pagi semalam oleh pegawai penguat kuasa MBJB, pemilik kedai terbabit meminta supaya tunggakan dibayar secara beransur-ansur.

Bagaimanapun, alasan tersebut tidak diterima anggota MBJB berikutan waran sitaan sudah dikeluarkan.

Pemilik kedai tebabit akhirnya akur dan membayar keseluruhan tunggakan melalui dua keping cek syarikat yang dikeluarkan pihaknya.

Datuk Bandar Johor Bahru, Amran Rahman berkata, operasi tersebut dijalankan secara berpe­ringkat-peringkat selama tiga hari melibatkan 15 hingga 20 pega­ngan harta perdagangan komersial selaras dengan Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976. 

“Pemilik harta perdagangan komersial juga yang dikenal pasti adalah mereka yang mempu­nyai tunggakan sebelum ini melebihi tiga tahun dan dianggarkan kesemua pegangan terbabit mempunyai tunggakan sebanyak RM200,000.

“Ini juga dijalankan secara berterusan sebagai kesedaran kepada warga bandar raya ini me­ngenai kepentingan dan tanggungjawab pembayaran cukai harta yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.