Siapa sangka dengan berbekalkan kudrat dan tulang empat kerat, pasangan warga emas itu yang masing-masing berusia 57 dan 62 tahun kini boleh berbangga apabila kerepek pisang mereka mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan.

Bermula dengan 10 kilogram, ibu kepada empat cahaya mata yang kesemuanya telah pun berumah tangga mampu mempopularkan jenama Misna Food di negeri ini.

Permintaan terhadap kerepek pisang tanduk air tangan Maznah dan Miskam kini mencecah seba­nyak 200 kilogram pada hari-hari biasa dan satu tan metrik semasa musim perayaan, khususnya sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Maznah memberitahu, idea untuk mengusahakan kerepek timbul apabila dia ingin menikmati kerepek pisang yang enak dan boleh memenuhi cita rasanya.

“Pada 2013, dengan berbekalkan modal permulaan sebanyak RM100 bagi membeli pisang tanduk, kuali besar, minyak besar serta peralatan lain, maka perniagaan terus berkembang.

“Mula-mula kami pasarkan ke pasar malam dan berusaha gigih memperkenalkan produk kepada kenalan dan orang luar,” katanya kepada Utusan Malaysia di Bandar Baru Kangkar Pulai dekat sini, baru-baru ini.

Maznah yang mempunyai 11 orang cucu mengakui cabaran utama adalah untuk mendapatkan bekalan pisang supaya pengeluaran tidak terputus demi memenuhi permintaan pelanggan.

Bagi memastikan bekalan pisang tanduk tidak terjejas, pasangan tersebut memajak kebun pisang di Pontian.

Sementara itu, Miskam membe­ritahu, bagi memastikan perusahaan mereka berjalan lancar pihaknya membuat pengkhususan kerja.

“Tugas utama saya ialah mencari bekalan pisang tanduk, mengopek pisang dan memastikan bekalan minyak masak dan plastik mencukupi, selain kerja-kerja memasarkan secara konsisten manakala isteri pula menyangat dan menggoreng serta membungkus kerepek yang siap untuk dipasarkan.

“Bagi menjaga kualiti kerepek, kami pastikan minyak hanya digunakan sekali sahaja bagi menggelakkan kerepek rasa tengik,” katanya yang merupakan pesara kerajaan.

Beliau mengakui ti­dak boleh hanya duduk diam kerana jika tiada bekalan pisang tanduk, mereka akan membuat produk sejuk beku termasuk getuk ubi, karipap, gendang kasturi, murtabak mini dan sardin gulung.

Produk mereka kini turut dipasarkan di 15 stesen minyak Petronas di sekitar bandar raya ini oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jemari Usahawan Johor (JUJ) dan beliau turut menjadi ahli pertubuhan itu.

“Bakinya saya pasarkan sendiri menerusi empat pasar malam dan tempahan daripada para pe­langgan yang mengetahui keenakannya, malah kerepek kami turut dipasarkan ke Kuala Kangsar, Perak.

“Saya amat bersyukur de­ngan mengusahakan kerepek ini, rezeki kami terus berkembang,” katanya yang berpegang dengan prinsip ‘jika rajin berusaha, pasti ada kejayaan’.