Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh berkata, peruntukan menerusi Tabung Pembangunan Nelayan itu membuktikan kesungguhan kerajaan bagi membantu golongan berkenaan.

Beliau berkata, bayaran tersebut diharap dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung mereka berikutan kurangnya ha­sil tangkapan kesan daripada pembangunan yang dilaksanakan.

“Syukur kita kerana kerajaan negeri begitu prihatin dan memahami situasi yang berlaku dan sentiasa berusaha untuk mem­bela nasib golongan nelayan menerusi pelbagai kaedah dan pendekatan yang sesuai,” katanya dalam majlis penyampaian bayaran ex-gratia tersebut kepada nelayan berkenaan di Kompleks Penghulu Serkat, dekat sini semalam.

Yang turut hadir Pegawai Daerah Pontian, On [email protected]; Pengarah Perikanan negeri, Ir. Zamani Omar; Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Johor Selatan, Azli Mohammad Aziz dan Penghulu Mukim Serkat, Ros­lan Bokari.

Suhaimi berkata, inisiatif lain yang dilakukan termasuk menjalankan penternakan kupang dan menyertai aktiviti industri hiliran yang dapat menambah pendapatan mereka.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Nelayan Tanjung Piai, Mansor Maidin bersyukur kerana kerajaan negeri meluluskan permohonan mereka bagi mendapatkan sagu hati selepas mengadakan beberapa siri perbincangan termasuk berjumpa dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Setiap nelayan menerima sebanyak RM3,000 yang diharap dapat meringankan beban kewangan mereka yang kini pendapatan mereka jelas berkurangan apabila turun ke laut,” katanya.