Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, perkara lanjut berhubung pemberian itu akan diumumkan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani dalam masa terdekat.

“Memang ada untuk penjawat awam negeri ini cuma bila membabitkan pemberian kepada penjawat awam biarlah Setiausaha Kerajaan negeri yang umumkan berapa jumlah dan bila akan diagihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Program Singgah Sahur Kelab Media Johor (KMJ) 2019 yang turut disertai lebih 50 pengamal media daripada pelbagai agensi di sini, awal pagi tadi.

Bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian semasa membentangkan Belanjawan Johor 2019 pada Novembet tahun lalu bersetuju memberikan bantuan khas kewangan berjumlah RM1,500 kepada penjawat awam negeri ini tahun ini.

DATUK DR. SAHRUDDIN JAMAL (tiga dari kiri) dan isteri, Datin Dr Nila Armila Mukdan (dua dari kiri) b

DATUK DR. SAHRUDDIN JAMAL (tiga dari kiri) dan isteri, Datin Dr Nila Armila Mukdan (dua dari kiri) bersama Exco Kesihatan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar (dua dari kanan) serta Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan makanan kepada pesakit Hospital KPJ Puteri pada Program Singgah Sahur Kelab Media Johor awal pagi ini. - UTUSAN ONLINE

Bantuan kepada penjawat awam negeri ini dan penjawat awam Persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan Johor berjumlah RM1,000 dibayar pada awal tahun ini dan baki RM500 akan diberikan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Terdahulu, Dr. Sahruddin mengetuai konvoi 20 kereta disertai lebih 50 pengamal media Johor singgah ke empat lokasi bagi mengagihkan set makanan dan minuman.

Empat lokasi terbabit adalah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Hosspital Pakar KPJ Puteri, Hospital Sultanah Aminah dan Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri.

Program itu turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia, Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar. - UTUSAN ONLINE