Pengarahnya, Hassan Siraj berkata, program melibatkan 10 penuntut dan lima pensyarah itu dianjurkan menerusi YES! Sukarelawan PMJ, Unit Pengantarabangsaan dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar politeknik.

Menurutnya, program seum­pama itu merupakan platform untuk aktiviti yang melibatkan penyertaan dalam persekitaran antarabangsa dan keterlibatan dengan pelbagai pihak terma­suk masyarakat Melayu Malaysia dan selatan Thailand.

“Pengantarabangsaan merupakan salah satu teras dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang bertujuan untuk memartabatkan institusi pengajian tinggi tempatan khususnya Politeknik Mersing ke arah bertaraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, antara program dan aktiviti dijalankan ialah lawatan ke Universiti Fatoni, program PSR di asrama anak yatim Sekolah Yala Witya Panya Nusorn, ziarah kesan Kota Langkasuka, Kota Patani lama, Kota Lama Jering dan Masjid Lama Kersik.

Pengarah Program, Raja Fara­azlina Raja Junior berkata, aktiviti dijalankan dapat memberi banyak pendedahan kepada penuntut politeknik yang terlibat menerusi pelbagai bidang.

“Usaha itu me­libat­kan keberkesanan komunikasi, mempelajari budaya hidup dan cara hidup masyarakat luar negara, menyumbang tenaga, penge­tahuan dan kemahiran melalui program khidmat masyarakat serta kepentingan jalinan hubungan dua hala itu sangat penting,” katanya.

Justeru, Politeknik Mer­sing berharap program kerjasama antara pihaknya dengan Universiti Fatoni akan terus diperkukuh­kan pada masa akan datang.