Menempatkan pelbagai pro­duk kraf seperti barangan kulit, perabot kayu hanyut, gasing, kraf logam serta seni kraf berasaskan kayu dan hasil rimba, keunikan itu pasti menjanjikan pengalaman menarik kepada pengunjung.

Sekali pandang suasana di luar bangunan yang merupakan bekas rumah candu pada zaman British ini, yang kini telah diubah suai menjadi ruang pameran, pusat kraf itu seakan-akan sebuah muzium mini kerana turut dipamerkan ialah koleksi pelbagai barangan lama seperti basikal, motosikal serta bara­ngan atau peralatan pertanian yang pernah digunakan dalam kehidupan seharian penduduk setempat suatu ketika dahulu.

Menurut Penyelaras Rumah Kraf Labis, Azahari @ Azah Abd. Jamal, 39, kebanyakan bara­ngan lama yang dipamerkan itu masih berfungsi dan dijaga de­ngan baik bagi tujuan perkongsian ilmu dengan pengunjung terutama dari luar seperti dari Singapura dan negara jiran lain.

“Kebanyakan barangan lama ini diperoleh masyarakat setempat yang turut memberi kerjasama terhadap usaha kami untuk mengumpul dan mempamerkannya kepada generasi baharu yang mungkin belum pernah melihat peralatan tersebut.

“Pendek kata, rumah kraf ini bukan sahaja memberi manfaat kepada 20 pengusaha kraf di sini mempromosi dan menjual produk mereka, sebaliknya sebagai sebuah tempat untuk orang ramai melihat lebih dekat serta memahami gaya hidup masyarakat setempat sejak era pasca merdeka melalui perlbagai barangan lama yang dipamerkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, lokasi rumah kraf itu yang terletak di Jalan Labis-Yong Peng bersebelahan Pejabat Pos Labis membuatkan tarikan itu yang baru dua bulan dibuka kepada orang ramai mudah dikunjungi pelancong tempatan mahu pun luar.

Tiada bayaran dikenakan kepada pengunjung Rumah Kraf Labis yang dibuka mulai pukul 9 pagi sehingga enam petang setiap hari.

Bagi memastikannya mampu menjadi daya tarikan pengunjung, Azahari berkata pihaknya merancang penganjuran pelbagai program sepanjang tahun ini termasuk menempatkan peng­usaha kraf membuat demonstrasi kepada pengunjung pada musim cuti dan hujung minggu.

“Dengan cara ini pengunjung bukan sahaja berpeluang melihat produk akhir kraf, malah berpeluang melihat dari dekat bagaimana sesuatu produk itu dihasilkan.

“Inilah antara pengalaman menarik yang kami janjikan kepada pengunjung khususnya generasi baharu yang mana pengalaman tersebut mungkin sukar diperoleh ditempat lain,” katanya.