Pembukaan sempena sambutan Jubli Perak MBJB 1994-2019 itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A. Rahman.

Serentak itu diadakan Larian Kilometer Sifar 2019 melibatkan 300 peserta bagi kategori Terbuka Dewasa melibatkan 12 kilometer (km) dan kategori Pelajar dengan 200 peserta (5 km).

Amran ketika ditemui berkata, pihak MBJB mengorak langkah dan sudah memartabatkan Kilometer Sifar Kebangsaan yang juga dikenali sebagai Kilometer Sifar Johor Bahru.

“Rata-rata masyarakat umum tidak mengetahui kewujudan Kilometer Sifar kebangsaan ini dan menganggapnya tidak lebih daripada sebuah sekeping batu papan tanda bersama-sama petunjuk jarak Kilometer Sifar sahaja.

“Sebagai nilai tambah pihak MBJB berusaha membina sebuah monumen yang berupaya menjadi daya tarikan pelancong ke Johor Bahru,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, langkah menjadikannya sebagai Kilometer Kebangsaan kerana arca berkenaan mempunyai nilai-nilai komersial termasuk nilai-nilai pensejarahan bandar.

Selain itu katanya, arca tersebut terletak dilokasi yang mudah dikunjungi dan juga sebagai aset pelancongan yang diminati pelancong asing untuk bergambar.

Amran berkata, kedudukan arca itu merupakan batu kilometer sifar untuk benua Asia dan juga bermulanya sistem perbatuan di benua Asia yang mempunyai sejarahnya tersendiri.

Kilometer sifar jelasnya, merupakan titik pangkal bagi sesebuah bandar, laluan jalan raya atau rangkaian jalan raya kebangsaan dan kilometer sifar di Semenangjung Malaysia terletak di hadapan bangunan MBJB dan bangunan Ibu pejabat Pos Johor Bahru.

“Daripada segi sejarah, semua jalan raya utama di Semenanjung Malaysia bertemu di Johor Bahru sebelum dihubungkan ke Singapura melalui Tambak Johor apabila dibuka kepada lalu

lintas pada 1924. Johor Bahru telah menjadi kilometer sifar sejak 91 tahun dahulu.

“Mengapa batu titik kilometer sifar itu tidak terletak di Kuala Lumpur? Ini kerana Kuala Lumpur terletak lebih 380 km dari permulaan Jalan Persekutuan 1 dan 40 km dari permulaan

Jalan Persekutuan 2,” katanya. - UTUSAN ONLINE