Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, sebanyak 147 kompaun dan notis pelbagai kesalahan dikeluarkan.

“Ia membabitkan sebanyak 91 kompaun buangan berjadual dikeluarkan (bertambah 18 kompaun), efluen perindustrian (10 kompaun) dan 46 Notis Arahan (bertambah 35).

“Secara keseluruhan, pemantauan berterusan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil tindakan penjejakan dan penyiasatan ke atas 182 premis bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Khuzzan berkata, sehingga tengah malam tadi juga, tiada pesakit baharu di masukkan ke hospital dan buat masa ini juga keadaan masih terkawal.

Tambahnya, seramai 31 pelajar yang mengalami simptom sesak nafas dan muntah daripada 11 buah sekolah dan daripada jumlah itu, seramai 21 orang dihantar ke klinik kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan saringan dan hanya seorang dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk pemeriksaan lanjut. - UTUSAN ONLINE