Menteri Besar, Datuk Seri Moha­med Khaled Nordin berkata, pem­binaan itu melibatkan projek perumahan Pakej A bernilai RM42,000 seunit, Pakej B (RM80,000) dan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) bernilai RM150,000 seunit.

“Kawasan Pengerang kini sema­kin pesat membangun dengan ada­nya projek mega seperti Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID).

“Justeru, kerajaan negeri mahu memastikan isu perumahan ini dapat diberi perhatian bagi membolehkan kumpulan sasar memiliki rumah di kawasan yang pesat membangun ini,” katanya ketika berucap di Dewan Bayu Damai, Taman Bayu Damai di sini kelmarin.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Datuk Syed Sis Syed A. Rahman; ADUN Penawar, Hamimah Mansor, Pegawai Dae­rah Kota Tinggi, Dr. Badrul Hisham Kassim dan ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri amat berterima kasih kepada penduduk dari tujuh perkampungan di sini yang sanggup berkorban dengan berpindah ke Taman Bayu Damai di sini bagi menjayakan projek RAPID.

Justeru, pihaknya akan memberi perhatian terhadap isu-isu perumahan dihadapi penduduk di kawasan berkenaan melalui Pusat Informasi Setempat Pengerang yang telah diwujudkan.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan projek baharu yang bakal dilaksanakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang, antaranya pembinaan Pengerang Waterfront yang melibatkan kos RM120 juta.

Projek tersebut di bawah Pelan Transformasi Dataran Pengerang yang merangkumi tiga fasa pembangunan iaitu Waterfront, Pasar Tani dan Food Truck serta Johor Muafakat Community Park.

Fasa pertama yang melibatkan pembangunan Waterfront akan mula dilaksanakan pada tahun ini dengan kos sebanyak RM15 juta.