SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, keempat-empat suspek termasuk seorang wanita ditahan di pejabat suruhanjaya itu di sini pada pukul 2 petang.

Menurut kenyataan itu, tiga daripada suspek berusia 20-an manakala seorang yang lain berusia 50-an.

“Siasatan mendapati keempat-empat suspek bersubahat membuat tuntutan palsu kepada JPNIN berjumlah lebih RM100,000.00

“Tuntutan itu bagi program kemasyarakatan melibatkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam negeri Johor yang mana kerja pembekalan program tersebut tidak dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu lagi, mereka yang ditahan merupakan dua kakitangan kerajaan, seorang kontraktor dan satu orang awam yang merupakan anak kepada pengarah bahagian terlibat.

“Sebahagian daripada jumlah tuntutan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi anak Pengarah Bahagian tersebut,” katanya.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan dua daripada empat suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok bagi permohonan reman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2kj009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000.00 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. -UTUSAN ONLINE