Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, kerajaan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menganjurkan Jualan Jimat Belanja Aidilfitri @ Pasar Tani bagi membolehkan pengguna mendapatkan pelbagai barang segar.

Menurutnya, sehingga ke hari ini juga, pihaknya belum menerima sebarang aduan atau rungutan pengguna dalam mendapatkan barangan keperluan mereka.

“Program jualan khas pasar tani itu juga diadakan selaras dengan hasrat kerajaan menangani kenaikan harga barangan keperluan di pasaran terutama menjelang musim perayaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program jualan khas itu di Pasar Tani di Larkin di sini hari ini.

Salahuddin berkata, kerajaan sudah mengiktiraf pasar tani sebagai antara saluran pasaran yang mampu mensejahterakan ekonomi pengguna dengan penjimatan antara lima peratus hingga 20 peratus berbanding harga pasar setempat.

Tambahnya, sejak Januari hingga April tahun ini, sebanyak 757 pasar tani di seluruh negara yang beroperasi melibatkan 31,125 peserta sudah merekodkan nilai jualan sebanyak RM308.7 juta.

 

Sementara itu, beliau berkata, seperti dimaklumkan sebelum ini, barangan keperluan pengguna menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah mencukupi.

“Alhamdulillah dijual pada harga kawalan, sebagai contoh, ikan kembung didapati dijual pada harga RM12 sekilogram, daging segar pada harga RM32 sekilogram berbanding RM34 manakala ayam segar RM7 sekilogram malah ada yang menjual pada harga RM6.50 atau RM5.50 sekilogram,” katanya. - UTUSAN ONLINE