Seramai 210 pelajar dan enam guru pengiring menyertai program tersebut bagi membersihkan kawasan pantai, terutamanya memungut sampah-sarap yang tersangkut di celah-celah batu.

Menurut Ahli Majlis Daerah Zon H, Rosman Tahir, turut menjayakan program tersebut ialah petugas Pejabat Kesihatan Daerah Pontian, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Perbada­nan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), SWM Environment Sdn. Bhd. dan Kelab Kecergasan Pulai Sebatang.

Beliau berkata, pesisiran pantai di Pusat Perdagangan Pontian atau lebih dikenali sebagai Tambak me­rupakan kawasan tumpuan orang ramai bukan sahaja masyarakat tempatan, malah pengunjung luar.

“Saya berharap orang ramai yang berkunjung ke sini menjaga kebersihan dan membuang sampah ke dalam tong-tong yang disediakan oleh Majlis Daerah Pontian (MDP) di kawasan ber­kenaan. Janganlah membuang sampah ke dalam laut atau di merata-rata tempat,” katanya.

Yang turut hadir, Pengetua Kolej Tingkatan 6, Mastura Aladin Masro dan Pegawai Tadbir MDP, Norazali Zainuddin.

Rosman berkata, program yang bertemakan ‘Selamatkan Pantai Kita’ itu diharap dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai bagi bersama-sama menjaga kebersihan di kawasan pantai serta Bandar Pontian.

“Kita sering dapati bekas-bekas makanan selalunya ditinggalkan oleh para pengunjung selepas beriadah bersama-sama keluarga atau rakan-rakan kerana mengharapkan ada pekerja pembersihan yang akan mengutipnya,” katanya yang sedihnya dengan tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan.

Justeru, beliau berharap sikap sedemikian dihentikan kerana memberi gambaran buruk kepada orang ramai pada waktu pagi yang ingin beriadah di kawasan berkenaan.