Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd., berkata, dalam serbuan pukul 10.30 pagi itu, polis turut merampas 12 butir peluru hidup.

“Dadah yang dirampas adalah daripada jenis syabu (578.1 gram), heroin (3.60 gram), ketamin (6.70 gram), pil ekstasi (tujuh biji), pil erimin 5 (tujuh biji) dan serbuk ekstasi (22.70 gram) bernilai RM41,408.

“Dua pucuk pistol yang kita rampas adalah jenis Revolver dan Smith & Welson,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini sebentar tadi.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 40 dan 67 tahun dan salah seorang mempunyai rekod jenayah lampau selain ujian saringan awal air kencing didapati positif dadah.

Beliau berkata, kedua-duanya kini ditahan selama seminggu hingga 20 Februari ini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 7(2) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. - UTUSAN ONLINE.