Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hasrat tersebut selari dengan Pelan Pembangunan Komprehensif Kedua yang memberi lebih fokus kepada pembangunan sosial masyarakat.

Menurutnya, IRDA berjaya melaksanakan pembangunan fizikal dan menjadikan Johor sebagai negeri dengan pelaburan tertinggi bagi tempoh tiga tahun berturut-turut dan kini akan fokus kepada keperluan dan kehendak masyarakat.

“Sebanyak 17 buah kampung tradisional telah dikenal pasti berada dalam kawasan pembangunan Iskandar Malaysia dan kerajaan berhasrat untuk mengekalkan kewujudkan kampung-kampung tersebut.

“Bagi tujuan itu, adalah pen­ting untuk kita merancang pelan dan tindakan terbaik bagi memastikan penduduk kampung berkenaan tidak terus terpinggir daripada asur pemodenan semasa,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama IRDA berkata demikian dalam sidang akhbar selepas me­lakukan lawatan kerja ke Kampung Kuala Masai, Pasir Gudang, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad; Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Md. Za'nal Misran.

Mohamed Khaled berkata, Kampung Kuala Masai dipilih sebagai projek perintis bagi usaha berkenaan dan perancangannya sudah pun dimulakan sejak awal tahun ini.

“Program ini akan diperkenalkan di Kampung Kuala Masai terlebih dahulu sebelum diteruskan ke Kampung Pasir Gudang Baru dan kampung-kampung tradi­sional lain secara berperingkat-peringkat.

“Pelan pembangunan yang dirancang akan berbeza-beza mengikut keunikan dan kelebihan setiap kampung tersebut,” ujarnya.