Ketuanya, Md. Nazri Sarian berkata, daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 27 tindakan telah diambil melibatkan pelbagai akta dengan nilai rampasan berjumlah RM20,660.

“Fokus kami sekarang adalah terhadap isu harga yang tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk memberi tumpuan penguatkuasaan dari segi pencatutan.

“Objektif utama sekarang adalah menangani perbuatan mencatut apabila cukai barang dan perkhidmatan (GST) dihapuskan bermula 1 Jun lalu,” katanya selepas program Walkabout Pemantauan dan Penguatkuasaan Pelaksanaan Sifar Peratus GST bersama-sama Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Daerah Segamat di Pasaraya Econsave, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua JKDM Stesen Segamat, Muhammad Danial Abu Jamil dan Pengurus Pasaraya Econsave Segamat, Rusihan Hadi Rahmin.

Pihaknya akan mengambil beberapa tindakan tegas bagi menangani manipulasi harga dan kenaikan harga barangan keper­luan yang dilakukan oleh peniaga, antaranya mengikut AKHAP 2011 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan yang memperuntukkan kaedah-kaedah bagi menentukan pencatutan sebagai usaha memastikan tindakan penguatkuasaan berkesan.

Md. Nazri memberitahu, pe­laksanaan gerak gempur atau Ops Catut 4.0 secara keseluruhan terhadap rantaian pengedaran barangan dan perkhidmatan di seluruh negara adalah untuk menangani kenaikan harga yang tidak berpatutan dalam pasaran.

“Ops Catut 4.0 ini telah bermula pada 24 Mei lalu juga akan memeriksa, memantau dan pe­nguatkuasaan di setiap jenis dan peringkat perniagaan dengan memberi tumpuan tindakan terhadap para peniaga yang tidak patuh kepada undang-undang.

“Saya juga ingin mengingatkan peniaga di daerah ini agar tidak mengambil kesem­patan membuat keuntungan berlebihan dalam pelaksanaan perubahan kadar cukai ini dan berharap harga barang dan perkhid­matan adalah stabil,” katanya.