Bagi sesetengah orang, punca kejadian itu mungkin agak remeh. Rasanya tidak berbaloi bergaduh hanya di­sebabkan beberapa ekor haiwan peliharaan.

Sebenarnya banyak insiden jiran bermasam muka apabila kucing, arnab, burung dan anjing yang dibela jiran di sebelah rumah buat hal. Cuma tidak sampai bertumbuk dan jadi kes polis.

Binatang peliharaan kadangkala menguji kesabaran hidup berjiran lebih-lebih lagi hidup di kota yang rumahnya rapat antara satu sama lain. Masalah najis haiwan merata-rata, bau busuk dan barang dirosak atau dicakar adalah contoh yang kerap berlaku.

Jangan hanya salahkan jiran kalau dia berang dengan haiwan yang anda bela. Pemilik haiwan juga mesti faham kesusahan yang disebabkan minat mereka membela haiwan yang comel dan jinak itu.

Ada kaedah memelihara haiwan dan sensitiviti yang mesti dijaga sebaik mungkin oleh tuan punya haiwan. Begitu juga peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi.

Sebagai contoh, sesetengah pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya membenarkan tuan rumah membela tidak lebih daripada tiga ekor anjing. Itu pun perlu dibela di dalam kawasan rumah, bukannya dilepaskan sehingga mengganggu orang lain.

Malangnya, ramai yang tidak patuh dan menjadikan kediaman mereka seperti pusat jagaan anjing. Ada juga yang membela berpuluh-puluh ekor kucing sehingga susah untuk dikawal.

Adat berjiran, kena prihatin dengan persekitaran dan pe­rasaan jiran masing-masing. Kalau ditakdirkan berdepan kecemasan dan kesusahan, jiran adalah orang paling dekat dan pertama tampil membantu.

Jangan pentingkan diri dan hanya disebabkan perasaan sayang kepada haiwan, anda bermusuh dengan manusia.

Pupuklah semangat harmoni dan mesra sesama jiran, usah jadi macam anjing dan kucing yang sentiasa bercakaran.