ISU merokok dalam masyarakat bukan perkara baharu, malah sering dibangkitkan sebelum ini. - GAMBAR HIASAN.

Setiap orang ada 'dalil' masing-masing. Kalau ditanya kepada golongan perokok, mereka pasti menafikannya, tetapi bagi yang lain, tabiat itu turut menjejaskan kehidupan mereka.

Namun, apa pun pandangannya, tabiat merokok amat memberi kesan kepada semua orang sama ada bagi golongan perokok atau sebaliknya.

Terlebih dahulu ingin dijelaskan bahawa Teropong Kawan tidak merokok supaya pandangan yang diberikan dapat dinilai secara jujur oleh semua pihak, khususnya golongan perokok.

Isu merokok dalam masyarakat bukan perkara baharu, malah sering dibangkitkan sebelum ini.

Bagi Teropong Kawan, isu rokok merupakan ‘penyakit’ masyarakat yang amat sukar dirawat. Hantarlah perokok ini berjumpa doktor pakar sekalipun, namun tidak ramai yang mampu ‘sembuh’ dan meninggalkan tabiat tersebut.

Malah, pelbagai peraturan termasuk memberi amaran pada kotak rokok tentang kesan buruknya terhadap kesihatan, tetapi langkah tersebut tidak mampu menimbulkan ‘gerun’ kepada perokok.

Lebih membimbangkan dengan ‘kehadiran’ pelbagai jenama rokok yang diseludup dan dijual dengan harga jauh lebih murah daripada rokok yang dikenakan cukai, maka usaha kerajaan untuk ‘menekan’ bagi mengurang jumlah perokok bukan sahaja tidak berjaya, malah semakin ramai termasuk golongan muda menjadi perokok.

Apa tidaknya, sebungkus rokok seludup boleh dijual dengan harga antara RM3 hingga RM5 berban­ding belasan ringgit bagi rokok yang dikenakan cukai.

Namun, bukan isu itu yang Te­ropong Kawan ingin bincangkan, tetapi tentang sikap segelintir pero­kok yang kadang-kadang tidak mempedulikan golongan lain.

Usah terus ‘melompat’ marah, tetapi Teropong Kawan berharap golongan tersebut dapat meneri­ma pandangan dengan baik dan hati terbuka kerana bukan niat untuk menyalahkan, cuma ingin berkongsi ‘ruang’.

Rasanya bukan Teropong Kawan sahaja yang sering mengalami dan menyaksikan sikap kurang prihatin perokok yang melepaskan ‘gian’ mereka sesuka hati di tempat-tempat awam, malah ramai lagi masyarakat.

Bukan untuk menuduh, namun ramai perokok yang seakan-akan tidak tahu atau buat-buat tidak tahu di mana lokasi ‘larangan’ mero­kok. Sepatutnya sebagai perokok, mereka lebih mengetahui aspek berkenaan kerana tindakan merokok di tempat awam bukan sahaja menyalahi peraturan, malah amat mengganggu keselesaan masyarakat.

Asap rokok mungkin ‘wangi’ bagi mereka, namun bagi majoriti masyarakat, perkara itu ibarat ‘bom asap’ yang bukan sahaja meri­maskan, malah mampu ‘membunuh’ ketenteraman mereka.

Teropong Kawan baru-baru ini sempat membasuh pakaian di sebuah dobi layan diri di Permas Jaya dan semasa menunggu basuhan kering, ternampak seorang pero­kok yang secara ‘selamba’ merokok di sebuah kerusi yang jelas terpampang notis larangan merokok di dinding belakangnya.

Malah, tanpa rasa bersalah lelaki berkenaan terus-terusan ‘mencemari’ haruman sabun di premis tersebut dengan asap rokoknya. Bukan untuk menidakkan hak beliau sebagai perokok, namun pergilah ke tempat yang dibenarkan, bukan tempat awam.

Justeru, Teropong Kawan amat berharap khususnya pihak ber­kaitan kesihatan dan pihak berkuasa tempatan supaya berganding bahu untuk mengambil tindakan pen­cegahan dan mengenakan tindakan tegas bagi menangani sikap ‘tidak prihatin’ golongan seperti itu.

Jangan jadikan notis peraturan dan larangan hanya penghias din­ding, tetapi lakukan penguatkuasaan dengan baik. Memang sikap masyarakat kita, selagi tidak diambil tindakan, mereka akan terus lakukan kesalahan sama.