Melaka 28 Mac 2018 - Sesi fotografi bersama Immazaitul Illyana Naim, 21 untuk ruangan Personaliti di Melaka, di sini hari ini. Gambar & Pemberita : FADZLI IZAB (UTUSAN)

Pelajar semestar akhir Diploma Pengurusan Acara yang mesra disapa dengan panggilan Imma ini mengakui, dia sukakan cabaran baharu malah berkebolehan melakukan banyak perkara dalam satu-satu masa tanpa mengganggu pelajarannya.

Selain menjadi pelajar sepenuh masa, Imma aktif menjadi ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Politeknik Merlimau bagi sesi 2016/2017 dan 2017/2018 serta sering diundang menjadi pengacara program di pusat pengajiannya.

Anak kelahiran Sepang, Selangor itu turut menyatakan keterujaannya mempelajari il­mu kewartawanan malah be­gitu seronok menimba pe­ngalaman baharu sebagai ‘wartawan’.

Katanya, tidak rugi mencuba apa sahaja bidang baharu dan lain daripada apa yang dipelajarinya di kampus kerana bidang kerjaya tidak hanya tertumpu kepada satu kemahiran sahaja.

“Saya seronok belajar macam-macam perkara baharu yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini kerana ia memberi saya kepuasan dan membantu mematangkan diri untuk menghadapi dunia pekerjaan apabila tamat pengajian kelak.

“Segala ilmu yang bermanfaat akan saya simpan sebaik-baiknya dan sentiasa cuba mempelajari ilmu yang bersesuaian dengan minat serta kebolehan saya,” kata­nya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini, baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai pengalaman dalam dunia kewartawanan dan pengacaraan, Imma mengakui semakin matang dan berkeyakinan terutama dalam dunia pengacaraan.

“Antara pengalaman saya dalam bidang pengacaraan termasuklah menjayakan program Eksplorasi Jalinan dan Warisan UNESCO Melaka pe­ringkat kebangsaan, program-program peringkat negeri dan banyak lagi,” ujarnya.

Tambah anak kedua daripada empat beradik ini, walaupun giat memberi tumpuan kepada pelbagai bidang dan ilmu baharu, ia sedikit pun tidak mengganggu pelajarannya malah dapat mengaitkan pengalaman dengan apa yang dipelajari di kuliyah.

“Didikan serta tunjuk ajar daripada mereka yang lebih berpengalaman banyak membantu saya melaksanakan sesuatu tugasan dengan lebih baik dan berkesan,” katanya.

Walaupun dalam kesibukan membahagikan masa antara tugas sebagai pelajar dengan ahli MPP, Imma juga tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang anak malah sentiasa mencari peluang untuk pulang dan menjaga ibu bapanya lebih-lebih lagi ibunya yang mengidap kanser.

“Harapan saya agar dapat meneruskan minat dalam bidang ini di alam pekerjaan dan saya sedia me­nerima sebarang pekerjaan dalam bidang pengurusan acara yang menjadi cita-cita utama saya.

“Saya juga me­ngambil peluang ini untuk menasihatkan rakan-rakan di luar sana agar tidak takut menceburi sesuatu perkara yang baharu kerana ia akan menjadi pengalaman yang amat berguna untuk dijadikan panduan pada masa akan datang,” tambahnya.