Itulah yang menjadi alas perutnya sehingga petang sebelum makan malam sekadar apa yang ada, sama ada berlaukkan sardin atau telur goreng.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Indah itu tidak memiliki menu tetap, apa lagi meminta hidangan istimewa.

Mujurlah adiknya, Nor Hidayah yang belajar di tahun lima Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil (SKSK) menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan setiap pagi dan duit RM2 yang diberi ibunya digunakan untuk membeli makanan waktu rehat.

Kedua-dua beradik itu sudah memahami keperitan hidup yang dialami oleh ibunya, Maslina Mokrim, 36, yang menghidap kencing manis dan masalah buah pinggang sejak tiga tahun lalu.

Malah lebih malang, mereka berdua juga mengalami masalah sama apabila buah pinggang dijangkiti kuman sehingga menyebabkan Haidhar beberapa kali dimasukkan ke Hospital Bukit Mertajam (HBM).

Menurut Maslina, dia terharu dengan pengorbanan anak-anak­nya yang memasak serta menguruskan kerja rumah biarpun turut diuji penyakit yang sama.

“Akibat kencing manis, jari kaki saya telah dipotong dan terpaksa dicuci setiap hari di Poliklinik Perdana dekat Nibong Tebal manakala doktor juga mengesahkan buah pinggang saya mengalami kerosakan.

“Saya tidak ke hospital kerajaan sebab doktor di Hospital Sungai Bakap mahu memotong kaki saya yang dijangkiti kuman.

“Jadi, saya sanggup bertahan demi anak-anak,” katanya yang telah berpisah dengan suaminya sejak 10 tahun lalu.

Tanpa pendapatan tetap, Maslina kini hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) RM300 sebulan.

Dengan RM650 itulah dia membayar sewa rumah di Flat Taman Seruling Emas dekat Sungai Bakap RM180 sebulan selain belanja ulang-alik ke klinik serta belanja persekolahan anak-anaknya.

Jelasnya, kos rawatan mencuci luka setiap hari di klinik itu kini mencecah RM7,000 dan dia juga buntu untuk melangsaikan hutang yang ditanggungnya.

“Mujurlah bekas suami saya tidak lupakan tanggungjawabnya dan menghantar anak-anak ke sekolah setiap hari.

“Selain itu, dia juga membawa saya ke klinik setiap hari untuk melakukan rawatan,” ujarnya ketika ditemui sewaktu menerima kunjungan JKM, ZPP, pihak SKSK dan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal semalam.

SKSK me­nyampaikan barangan keperluan harian dan wang tunai yang dikutip melalui program Masih Ada Yang Sayang.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Mohd. Norhiesam Ismail berkata, pihaknya menjadikan Muhammad Haidhar dan Nor Hidayah sebagai anak angkat dan membantu urusan pendidikan mereka.

Selain itu, pihaknya juga akan membantu menyelaraskan bantuan yang akan diterima oleh keluarga itu serta pemeriksaan kesihatan yang akan dijalani mereka.

Orang ramai yang ingin membantu Maslina, boleh menghubungi ibu tunggal itu di talian 018-9439840.