Pegawai Memerintah Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11RAMD), Leftenan Kolonel Salmi Istikh Ahmad berkata, pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 18 dan 37 tahun itu ditahan di belakang Ladang Sawit Pak Langi kira-kira 200 meter dari pintu sempadan.

Katanya, sepasukan anggotanya berjaya mengesan dua PATI terbabit pada pukul 8 pagi semasa mereka sedang berjalan kaki menuju ke pagar ladang berkenaan untuk menyusup masuk ke negara jiran itu menggunakan laluan tikus.

“Anggota 11RAMD yang menjalankan Operasi Serkap menjalankan intipan selama empat jam sebelum berjaya menangkap dua PATI berkenaan.

“Apabila diperiksa, warga Indonesia tersebut tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini pagi ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat, kedua-dua PATI itu memaklumkan, mereka ingin pulang ke kampung di Sambas, setelah selesai bekerja di ladang sayur di Serian.

Katanya, kedua-dua mereka kemudian ditahan atas kesalahan menggunakan jalan yang tidak dibenarkan dan dibawa ke Balai Polis Lundu sebelum diserahkan kepada pihak imigresen pada pukul 4.13 petang untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE