Duka lara hidup keluarga Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampung Beris Lalang, dekat sini, turut menuntut pengorbanan seorang wanita memboncengkan  suaminya dengan motosikal buruk ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh dan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Nurul Zaitul Akma  Mohd. Zain, 31, berkata, tugasan menghantar suaminya, Amiludin Deris, 46, yang mengalami kecacatan fizikal sudah menjadi rutin mingguan selain terpaksa menjaga ibunya, Zahrah Mohamad, 71, yang terlantar sakit tua. 

"Kami tinggal di rumah usang yang sering tiris dan ahli keluarga sering basah terutama pada musim hujan lebat. 

"Suami saya selaku ketua keluarga tidak mampu melakukan kerja sejak enam tahun yang lalu kecuali sekadar kepada saya yang memberi semangat kepada saya yang bekerja di kedai makan dengan upah RM20 sehari," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Kelab Volenteer I Care (VIC), Muhammad Afiq Aiman Sukry di rumahnya, dekat sini, hari ini. 

Pada kunjungan tersebut, VIC menyampaikan bantuan segera berbentuk beg sekolah, alat tulis, telekung dan kain pelikat kepada keluarga tersebut.

Sementara itu, Muhammad Afiq ketika ditemui berkata, pihaknya mengunjungi keluarga tersebut selepas menerima laporan dan gambar seorang nenek yang terlantar di lantai berlubang berhampiran dengan mangkuk tandas. 

Menurutnya, hasil ziarah itu, dia mendapati Nurul Zaitul Akma mengambil alih tugas suaminya yang tidak berkeupayaan demi kelangsungan hidup tiga anaknya yang semuanya masih bersekolah. 

"Jarak dari rumah mereka ke hospital adalah jauh dan sering terdedah bahaya namun itulah pengangkutan utama keluarga berkenan. 

"Hebat perjuangan seorang isteri yang juga  seorang ibu yang tabah mencari pendapatan tambahan menampung bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima suaminya sebanyak RM320 sebulan," katanya. 

Katanya, VIC akan berusaha membantu keluarga ini membaiki lantai di kawasan emak keluarga itu, mewakafkan katil hospital untuk Zahrah dan berusaha membekalkan lampin pakai buang kepada Amiludin sebulan sekali

Tabung untuk keluarga berkenaan dibuka, mana-mana individu atau syarikat yang ingin berkongsi rezeki kepada keluarga ini boleh wasap www.wasap.my/60199344077/TabungAbgAmiludin yang diurus secara langsung dan telus oleh VIC. - UTUSAN ONLINE