Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pembinaan pusat rawatan radiosurgeri seluas 372 meter persegi yang bernilai kira-kira RM30 juta turut menjadikan hospital itu sebagai institusi kerajaan pertama menggunakan teknologi sinar gamma untuk merawat penyakit barah dan ketumbuhan otak.

“Kaedah konvensional yang diguna pakai sebelum ini memiliki pelbagai risiko dan tempoh pemulihannya adalah lebih lama. Jadi, menerusi teknologi ini rawatan ditumpukan pada bahagian tisu otak yang berpenyakit dan tidak mencederakan bahagian tisu lain.

“Malah, rawatannya hanya sekali dan pesakit boleh pulang beberapa jam selepas menjalani rawatan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Pecah Tanah Pusat Gamma Knife di HCTM di sini kelmarin.

Jelas Subramaniam, penubuhan pusat itu yang dijangka memanfaatkan lebih 40,000 pesakit setiap tahun juga dilihat sebagai antara inisiatif untuk meningkatkan serta menyalurkan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat selaras dengan dasar kesihatan negara. - UTUSAN ONLINE