Surirumah, Nik Mas Roslina Jaffar, 42, berkata, perniagaannya bermula pada September 2016 dengan modal RM4,000 yang diperoleh setelah menggadai gelang dan rantai perkahwinan.

 Ibu kepada enam anak ini bercita-cita untuk membuka kilang aiskrim sendiri dan mengedarnya di seluruh negara pada masa hadapan.

 "Setiap bulan saya menggunakan lebih lapan kilogram tepung jagung; 13 kilogram tepung susu dan 24 kilogram gula yang menjadi bahan asas aiskrim.

 "Suami saya, Zubareenor Ibrahim, 42, yang bekerja sebagai pemandu bas sangat menyokong dan akan mengambil cuti membantu saya membuat aiskrim jika tempahan terlalu banyak.

"Dahulu saya pernah bekerja sebagai penolong pengurus stesen minyak tetapi terpaksa berhenti pada 2011 untuk menjaga anak-anak yang masih kecil," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

 Menurutnya, dia menghasilkan 10 perasa aiskrim jenama 'Qislyna' iaitu hasil gabungan namanya dan anak sulung, Siti Balqis, 11, yang dijual di kawasan strategik seperti sekolah dan tapak karnival selain memenuhi tempahan jamuan dan majlis perkahwinan serta aktiviti agensi kerajaan dan swasta. - UTUSAN ONLINE