Pendirian terbaharu kerajaan Pusat menghalang dan menyekat pemilikan hartanah oleh warga asing itu dianggap sebagai dasar baharu oleh sesetengah pihak. Tidak kurang juga melihatnya sebagai langkah tepat mengawal pemilikan hartanah oleh warga asing.

Projek pembangunan mega itu yang melibatkan pelaburan sebanyak RM442.8 bilion (USD 100 bilion) adalah projek kerajaan negeri yang bukan 100 peratus dimiliki pelabur China.

Forest City diusahakan menerusi kerjasama China dan kerajaan Johor melalui Country Garden Pacific View (CGPV).

Namun kira-kira 66 peratus pegangan CGPV dikuasai tiga syarikat gergasi China iaitu Country Garden Waterfront Sdn. Bhd., Country Garden Danga Bay Sdn. Bhd. dan Country Garden Real Estate Sdn. Bhd. sementara selebihnya pegangan CGPV dimiliki kerajaan negeri Johor menerusi Esplanade Danga 88 Sdn. Bhd.

Projek mega tersebut menye­dia­kan kira-kira 700,000 unit kediaman dan antara majoriti pembe­linya adalah dari China menerusi skim Malaysia My Second Home (MM2H).

Projek Forest City sebelum ini berjalan lancar di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) malah Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menjadi Perdana Menteri pada 6 Mac 2016 mengumumkan pakej sokongan dengan empat insentif bagi menjaya dan merancakkan lagi aktiviti perniagaan di projek hartanah pintar di pulau ber­kenaan.

Ini termasuk mengisytiharkannya sebagai kawasan bebas cukai dan keputusan kerajaan ketika itu bertujuan memacu aktiviti perniagaan dan pelancongan di empat pulau buatan berkenaan.

Bagaimanapun apabila Dr. Mahathir baru-baru ini menegaskan bahawa tiada sebarang visa akan diberikan kepada warga asing untuk datang dan tinggal di negara ini, keputusan itu bakal memberi kesan kepada pembeli dari China yang mahu mendiami Forest City.

Dr. Mahathir sebelum ini pernah melahirkan kebimbangan tentang ‘penguasaan’ warga China yang membeli hartanah di Forest City. Menerusi berita Bloomberg pada November 2016, laporan itu me­nyatakan ramai rakyat China diterbangkang ke Johor untuk melihat model kediaman dan mereka sudah serta akan membeli kebanyakan hartanah di Forest City.

Projek tersebut menempatkan 700,000 unit kediaman yang dibuka kepada warganegara asing dan bukan China sahaja. Namun sehingga kini statistik terkini atau angka tepat masih belum didedahkan walaupun diketahui ramai pembelinya dari China selain Singapura dan Asia Barat.

Perlu didedahkan peratusan pembeli dari negara mana ter­tinggi dan pada masa sama perlu ada kuota abgi sesebuah negara bertujuan mengelakkan monopoli. Ini sekali gus akan meredakan kebimbangan banyak pihak terutama rakyat Johor.

Rakyat Johor tidak menolak pembangunan tetapi perlu memberi manfaat kepada mereka dan negeri. Bukan satu rahsia lagi Fo­rest City akan melibatkan isu kedaulatan dan hal ini tidak boleh dijual beli walaupun dengan alasan untuk memajukan ekonomi atau negara.

Difahamkan 70 peratus daripada 700,000 unit kediaman dibeli warga China. Memang pembangunan projek mega itu akan mengambil masa 30 tahun ke atas tetapi kita harus berfikir dalam kerangka futuristik dan bukan objektifnya keuntungan semata-mata.

Kedaulatan tidak boleh ditukar ganti sama ada dengan cukai atau pendapatan yang diperoleh menerusi Forest City. Ini adalah perkara sensitif dan setiap negara yang berdaulat, merdeka dan bermaruah pastinya akan menolak sebarang bentuk penjajahan baharu.

Dalam hal ini kita tidak boleh berkompromi dan perlu faham dalam konteks tersurat atau tersirat. Penulis percaya ketegasan ini tidak akan merencatkan pemilikan warga asing ke atas hartanah di Forest City termasuk pelaburan dari China di Johor.

Ini bukan bermaksud projek mega itu perlu dihentikan, sebaliknya langkah kerajaan yang sedang menimbang untuk mengurangkan peratusan pemilikan warga asing dalam projek Forest City adalah tepat bagi memboleh­kan lebih banyak rakyat tempatan membeli hartanah di situ.

Kita tidak mahu apabila empat pulau buatan itu sudah siap sepenuhnya, pendududuk tempatan dipinggirkan malah untuk masuk ke kawasan tersebut pun tidak dibenarkan. Adakah sesiapa yang boleh memberikan jaminan ini tidak akan berlaku jika tiada dasar yang ‘melindungi’?

Pendirian Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dalam hal ini dilihat tidak banyak membantu kerana ‘tersepit’ antara kerajaan Persekutuan dan negeri. Memang tidak dinafikan Forest City memberi sumbangan dan peluang pekerjaan tetapi ada perkara lebih penting daripada itu.

Diharap usaha kerajaan negeri untuk memberi penjelasan dan mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri nanti tentang Forest City akan memberikan penyelesaian kepada isu ini.

Langkah kerajaan Pusat menubuhkan jawatankuasa bagi meneliti dan menyemak semula projek unit kediaman Forest City yang dianggotai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kerajaan negeri Johor dan Kementerian Kewangan adalah tepat sekali.

Pemaju dan pihak yang ber­kenaan juga perlu dipanggil untuk memberikan penjelasan serta perkembangan terkini Forest City supaya akhirnya situasi ‘menang-menang’ dapat diwujudkan.

Keputusan melibatkan beberapa polisi perlu ditentukan kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri dan bukan sahaja projek Forest City tetapi projek pemba­ngunan lain di Johor.