Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, perkataan Mek dan Awang cukup sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu di negeri ini dan juga peranakan Cina.

“Apabila disebut Mek, ia panggilan mesra, sebagai ganti nama kepada seseorang wanita yang belum dikenali nama. Begitu juga denggan panggilan Awang kepada lelaki terutama yang muda.

“Malah panggilan ini juga digunakan dalam kalangan masyarakat peranakan Cina di negeri ini, menunjukkan betapa rapat dan mesranya kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

“Walaupun mereka berlainan bangsa, namun apa yang menjadi kebiasaan bagi orang Melayu turut menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat Cina”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Peranakan (Mek Kebaya) Terengganu 2018 di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh.

Festival dalam kalendar pelancongan negeri yang akab berlangsung hingga 22 Ogos itu menyasarkan seramai 120,000 pengunjung dengan menampilkan pelbagai aktiviti menarik.

Antaranya ialah pameran jualan, persembahan jalanan, persembahan kebudayaan moden dan tradisional, pameran kebudayaan masyarakat cina dan demonstrasi masakan dan permainan tradisional.

Menurut Wan Sukairi, melalui festival ini diharap dapat menambahkan lagi kemesraan dan perpaduan di antara masyarakat Cina dan Melayu di negeri ini.

“Peranakan di sini bukan sahaja mesra dengan panggilan seperti orang Melayu, tetapi juga turut mengamalkan budaya Melayu tempatan termasuk dari segi loghat pertuturan dan pemakanan. - UTUSAN ONLINE