Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyambut baik pelaksanaan projek mega itu yang memberi kesan positif dan besar antaranya memudahkan pergerakan serta membangunkan pertumbuhan bandar-bandar baharu.

"ECRL ini saya anggap adalah projek untuk rakyat, kereta api rakyat. Ia dapat mendekatkan mereka yang berada di Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan Selangor (Lembah Klang)...orang jauh menjadi lebih dekat.

"Negeri inj beruntung kerana berada di tengah-tengah dan saya percaya ia mampu memberi nilai tambah kepada Pahang,” titah baginda ketika merasmikan Ibu Pejabat Tanah Makmur Berhad (TMB) dan Galeri Jualan Kotasas di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengarah Eksekutif TMB, Tengku Amir Nasser Tengku Ibrahim.

Pada 9 Ogos tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyempurnakan majlis pecah tanah projek ECRL di Kotasas yang menandakan bermulanya projek mega yang menjadi pencetus perubahan dan pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu di Pantai Timur.

Projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) itu melibatkan pembinaan landasan sepanjang 688 kilometer dengan kos sebanyak kira-kira RM55 bilion. - UTUSAN ONLINE